Bahasa MelayuEkonomiKeselamatanMasyarakat

Cadangan Memperbaiki Sistem Pengangkutan Awam

Marcapada ini, hampir setiap negara di dunia tidak kira negara maju mahupun membangun sedang berlumba-lumba memperbaik sistem pengangkutan awam masing-masing. Umum mengetahui bahawa pengangkutan awam adalah nadi utama dalam pembangunan infrastruktur dan ekonomi sesebuah negara. Fungsi pengangkutan awam adalah untuk mengangkut sekumpulan individu dalam kuantiti yang banyak pada sesuatu masa. Hal ini sejajar dengan perkembangan jumlah penduduk yang kian bertambah dari masa ke semasa. Sistem pengangkutan awam di negara kita masih di tahap sederhana dan banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan agar ia mencapai tahap efisien dan setanding dengan negara maju. Persoalannya, apakah inisiatif dan reformasi yang boleh dilaksana bagi mencapai sistem pengangkutan awam yang lebih baik? Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu. Sistem yang bersepadu bermaksud setiap jenis pengangkutan awam yang disediakan dihubungkan dengan baik dan mudah untuk diakses. Misalnya, sistem aliran transit ringan (LRT) dan perkhidmatan bas awam yang menghubungkan kawasan bandar dengan kawasan pinggir bandar. Sistem ini dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya disebabkan jumlah kenderaan yang banyak. Selain itu, sistem bersepadu ini juga dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan masyarakat tempatan yang menggunakan perkhidmatan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab membina dan menyelenggara sistem pengangkutan awam perlu merangka pelan perancangan pengangkutan awam yang lebih strategik dan menyeluruh dalam memastikan sistem yang dibina itu berkesan. Perancangan tersebut perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum boleh direalisasikan. Antara faktor yang perlu dikaji adalah seperti faktor geografi, taburan penduduk, ramalan jumlah pengguna dan juga pendapatan isi rumah sesebuah kawasan tersebut. Pada waktu yang sama, faktor keselamatan juga perlu diambil kira dalam memperbaiki sistem pengangkutan awam. Mutakhir ini, pelbagai kes jenayah yang berlaku melibatkan penumpang pengangkutan awam seperti kes ragut dan serangan seksual. Kes sebegini akan mengurangkan keyakinan para pengguna terhadap tahap keselamatan yang disediakan oleh syarikat pengangkutan awam tersebut. Maka, pihak pengurusan pengangkutan awam perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, mengupah pegawai keselamatan untuk mengawal kawasan perhentian bas atau tren, memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) diselenggara dengan baik dan meminta pihak berkuasa membuat rondaan secara berkala di kawasan tumpuan ramai. Dengan pendekatan ini, pengguna akan berasa lebih selamat dan selesa untuk terus menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa perlu berasa bimbang. Selain itu, cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam adalah dengan melakukan penambahbaikan sistem pembelian tiket. Jika kita lihat di negara-negara maju, kebanyakkan sistem pengangkutan awam mereka menggunakan sistem pembelian tiket secara prabayar atau menggunakan kad pintar yang boleh didapati dengan mudah. Penggunaan sistem kad pintar ini bukan sahaja menjimatkan masa malah mengurangkan kos majikan. Hal ini demikian kerana ia memudahkan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut tanpa perlu membeli tiket secara manual setiap kali menaiki kenderaan. Tambahan pula, sistem pembelian tiket perlu mesra pengguna dengan menyediakan perkhidmatan sokongan yang berkualiti sekiranya pengguna menghadapi masalah berkaitan tiket dan sebagainya. Secara tidak langsung, sistem ini akan mengurangkan kes-kes seperti penipuan tiket dan sebagainya. Akhir sekali, bagi menjamin kecekapan sistem pengangkutan awam di negara kita, pihak pengurusan pengangkutan awam hendaklah memastikan setiap kenderaan yang digunakan diselenggara dengan baik. Penyelenggaraan yang baik akan mengelakkan kejadian kerosakan berlaku seperti tren atau bas yang rosak ketika sedang digunakan. Senario kerosakan atau kegagalan fungsi kenderaan ini akan merencatkan jadual perjalanan dan menyebabkan penumpang terlewat untuk sampai ke destinasi masing-masing. Perkara sebegini sudah pasti akan menjejaskan reputasi dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam tersebut di mata masyarakat tempatan dan juga pelancong asing. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan amat berkait rapat dengan kualiti penyelenggaraan yang dilakukan oleh pihak pengurusan. Oleh itu, amalan menyelenggara yang kerap serta efisien perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam industri pengangkutan awam agar objektif untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dapat dicapai. Sebagai konklusi, banyak langkah yang boleh dilaksanakan bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di negara kita. Pelbagai pihak perlu bekerjasama ibarat aur dengan tebing dalam memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini dipertingkatkan dari masa ke masa. Hal ini demikian kerana pengangkutan awam adalah merupakan nadi utama yang menggerakkan ekonomi dan pembangunan negara dari pelbagai sudut. Pembangunan sistem pengangkutan awam yang menyeluruh dan bersepadu akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara kita dan seterusnya membawa negara ini untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Input-input daripada orang awam yang menggunakan perkhidmatan ini boleh diambilkira oleh pihak yang bertanggungjawab dalam merencana dan membangunkan pengangkutan awam di seluruh pelosok negara supaya ia boleh dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat dan juga status kewangan.
741 words