Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatBudaya
Cara-Cara Melahirkan Remaja Yang Berwawasan
Remaja merupakan golongan yang berumur antara 12 hingga 21 tahun dan merupakan aset yang tidak ternilai kepada negara. Golongan ini bakal menerajui kepimpinan negara dan memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan. Oleh itu, remaja yang berwawasan amat diperlukan untuk meneruskan kesinambungan dan kelangsungan negara pada masa hadapan. Namun begitu, untuk melahirkan remaja yang berwawasan bukanlah satu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran dan halangan perlu ditempuhi dalam usaha untuk membentuk generasi muda yang berwawasan dan berdaya saing. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk melahirkan remaja yang berwawasan?
Antara cara yang boleh dilakukan untuk melahirkan remaja yang berwawasan ialah dengan memberikan didikan agama dan moral yang sempurna. Didikan agama dan moral yang kukuh amat penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak yang mulia dalam kalangan remaja. Remaja yang mempunyai pegangan agama yang kuat akan sentiasa berkelakuan baik dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan masa depan mereka. Sebagai contoh, remaja yang taat kepada ajaran agama akan sentiasa menghormati ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua. Mereka juga akan menjauhi aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti merokok, menagih dadah, vandalisme dan sebagainya. Intihannya, didikan agama dan moral yang sempurna amat penting dalam melahirkan remaja yang berakhlak mulia dan berwawasan.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam melahirkan remaja yang berwawasan. Ibu bapa haruslah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak walaupun sibuk dengan urusan pekerjaan. Ibu bapa perlu mengambil tahu masalah dan keperluan anak-anak agar mereka tidak berasa terabai dan tersisih. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk makan malam bersama anak-anak dan berbual-bual tentang aktiviti harian mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak dengan menunjukkan tingkah laku yang terpuji dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang akan membesar menjadi remaja yang berwawasan dan bertanggungjawab. Jelaslah bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif dalam usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, pihak sekolah juga bertanggungjawab untuk melahirkan remaja yang berwawasan. Pihak sekolah perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan program-program pembangunan sahsiah yang berkesan untuk membentuk keperibadian pelajar. Guru-guru haruslah menjadi pembimbing dan pemudah cara kepada pelajar dalam proses menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sebagai contoh, guru-guru boleh menerapkan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan program-program motivasi dan kepimpinan untuk membentuk keyakinan diri dan jati diri pelajar. Aktiviti-aktiviti kokurikulum seperti sukan, permainan dan badan beruniform juga perlu diberi penekanan agar dapat melahirkan pelajar yang cergas dan berdisiplin. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam melahirkan remaja yang berwawasan dan berkeperibadian unggul.
Pada waktu yang sama, remaja juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini agar dapat bersaing di peringkat global. Remaja haruslah rajin berusaha dan menuntut ilmu pengetahuan bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang-bidang lain yang diminati. Sebagai contoh, remaja yang berminat dalam bidang teknologi maklumat boleh mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan pengaturcaraan komputer, reka bentuk grafik dan multimedia. Selain itu, remaja juga perlu menguasai pelbagai bahasa terutamanya Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa. Penguasaan pelbagai bahasa ini akan memberi kelebihan kepada remaja untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat dunia. Remaja juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran berpasukan. Intihannya, remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini agar dapat bersaing di peringkat global.
Kesimpulannya, melahirkan remaja yang berwawasan merupakan tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa dan pihak sekolah sahaja. Kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang kondusif untuk pembangunan modal insan terutamanya golongan remaja. Pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh turut serta dalam usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan dengan menganjurkan program-program pembangunan remaja yang berteraskan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme. Sekiranya usaha-usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sudah pasti hasrat negara untuk melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berdaya saing akan tercapai. Generasi muda ini akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negara dan seterusnya menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan demi kemajuan dan kemakmuran negara tercinta. Semoga berkat usaha dan komitmen jitu daripada semua pihak, hasrat negara untuk melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berketerampilan akan menjadi kenyataan.
736 words