Bahasa MelayuTeknologiEkonomiMasyarakat
Cara-Cara Memajukan Sektor Pertanian Negara.
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyebabkan pembangunan yang pesat di Malaysia. Namun begitu, sektor pertanian di Malaysia masih di takuk lama dan kurang diberi perhatian. Sektor pertanian merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara suatu ketika dahulu sebelum negara beralih kepada sektor perindustrian. Kepesatan pembangunan dan kekurangan sumber pekerja di dalam sektor pertanian menyebabkan hasil sektor ini semakin berkurang dan kita terpaksa mengimport hasil tani dari negara luar. Hal ini amat membimbangkan kerana kebergantungan terhadap bekalan makanan daripada negara luar meletakkan negara kita dalam risiko sekiranya berlaku krisis makanan global. Justeru, langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian perlu dikenal pasti dan dilaksanakan demi mencapai objektif negara berdikari dalam penghasilan makanan.
Langkah utama dalam memajukan sektor pertanian negara adalah dengan menggunakan teknologi terkini dan moden di dalam sektor pertanian. Penggunaan teknologi seperti dron, pembajaan automatik, dan mesin menuai mampu meningkatkan hasil pertanian dengan banyak. Sebagai contoh, di Cameron Highland, Pahang, tanaman seperti strawberi dan sayur-sayuran ditanam di dalam rumah hijau dan menggunakan sistem pengairan titis yang mampu mengawal air dan baja dengan kuantiti dan masa yang ditetapkan. Selain itu, sistem fertigasi juga digunakan oleh petani-petani di Malaysia kerana ia berupaya untuk meningkatkan hasil tuaian yang berkualiti. Sistem ini banyak digunakan untuk tanaman seperti cili, tomato, dan tembikai. Penggunaan teknologi bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, ia juga dapat mengurangkan kos pembelian baja, racun dan air. Oleh itu, dengan teknologi yang betul dan sesuai, kita mampu memajukan sektor pertanian ke arah yang lebih baik.
Selain daripada itu, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor pertanian di negara ini. Pihak kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi bagi membantu para petani di negara ini seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Agensi-agensi ini berperanan dalam memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada petani-petani dalam meningkatkan hasil tani dan memasarkan produk mereka. Namun begitu, masih terdapat petani yang tidak mendapat bantuan daripada agensi-agensi tersebut mungkin disebabkan oleh karenah birokrasi dan sebagainya. Perkara ini haruslah dibendung oleh pihak kerajaan dengan memantau dan menambahbaik sistem yang digunakan oleh agensi-agensi tersebut dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kerajaan juga perlu memastikan setiap warga tani mendapat bantuan yang secukupnya agar sektor pertanian terus berkembang maju.
Seterusnya, kerajaan dan institusi perbankan haruslah menyediakan skim pembiayaan yang menarik dan mampu untuk disertai oleh setiap lapisan petani dalam negara kita. Masalah utama yang sering dihadapi oleh petani-petani tempatan adalah kekurangan modal untuk membeli peralatan dan kelengkapan pertanian. Bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman mampu membantu para petani dalam mengurangkan beban kewangan dan memberi peluang untuk meluaskan perniagaan mereka. Misalnya, Agro Bank yang dahulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia Berhad (BPMB) ditubuhkan khas untuk membantu dan memberi kemudahan kepada usahawan-usahawan tani di Malaysia. Di samping itu, skim pembiayaan yang ditawarkan oleh Agro Bank dilihat lebih menarik berbanding institusi perbankan yang lain kerana mereka lebih cakna dengan keperluan dan kemampuan petani. Intihannya, kemudahan pembiayaan yang mesra pelanggan dan mampu disertai oleh segenap lapisan usahawan tani dapat membantu perkembangan sektor pertanian tempatan.
Konklusinya, pelbagai langkah boleh diaturkan dan dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian negara. Kerjasama yang erat antara pihak kerajaan, pihak swasta dan pengusaha itu sendiri mampu meningkatkan hasil pertanian negara sekaligus mengurangkan kebergantungan import terhadap bekalan makanan seperti beras, daging dan sebagainya. Pihak berkuasa seharusnya mengkaji semula dasar-dasar pertanian yang sedia ada dan menerapkan elemen teknologi terkini yang mampu meningkatkan hasil pertanian. Diharap agar golongan muda dan graduan menceburi bidang pertanian yang mampu memberi pulangan yang lumayan setanding dengan bidang pekerjaan yang lain. Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Marilah kita berganding bahu memajukan sektor pertanian supaya kita tidak lagi bergantung kepada negara luar dalam mendapatkan bekalan makanan.
616 words