Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatSukan
Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah
Cuti sekolah merupakan waktu yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar di Malaysia. Dalam setahun, kebiasaannya pelajar sekolah akan bercuti sebanyak empat kali iaitu pada penggal pertama persekolahan, pertengahan tahun, penggal kedua persekolahan dan akhir tahun. Cuti sekolah yang panjang ini kebiasaannya akan diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan. Namun begitu, terdapat juga segelintir pelajar yang menghabiskan cuti sekolah mereka dengan sia-sia. Hal ini kerana mereka tidak didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk mengisi cuti sekolah tersebut. Oleh itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mereka mengisi cuti sekolah dengan aktiviti yang berfaedah dan tidak membuang masa begitu sahaja. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk memanfaatkan cuti sekolah yang panjang ini?
Antara inisiatif yang boleh dilakukan oleh para pelajar untuk mengisi cuti sekolah ialah dengan melakukan kerja sambilan. Hal ini dapat membantu para pelajar untuk mencari pengalaman baharu dan merasai sendiri pengalaman bekerja dalam alam pekerjaan yang sebenar. Para pelajar boleh memohon untuk bekerja di restoran-restoran, kedai serbaneka ataupun di pusat membeli-belah. Selain dapat mengisi masa lapang, pelajar juga dapat mencari wang saku lebih untuk menampung perbelanjaan mereka. Wang yang diperoleh juga boleh disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan seperti membiayai yuran pengajian di institusi pengajian tinggi. Secara tidak langsung, pelajar juga dapat meringankan beban ibu bapa mereka yang menyara kehidupan mereka selama ini. Jelaslah bahawa dengan melakukan kerja sambilan, pelajar dapat mengisi masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat dan memperoleh pendapatan sampingan.
Selain itu, para pelajar juga boleh melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong dan menyertai program kesukarelawanan. Aktiviti-aktiviti ini dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri para pelajar seperti nilai kerjasama, bertanggungjawab dan prihatin. Dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan, para pelajar dapat mengisi masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat setempat. Sebagai contoh, para pelajar boleh menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan di kawasan perumahan mereka untuk membersihkan kawasan tersebut dan menghapuskan tempat pembiakan serangga seperti nyamuk aedes. Selain itu, para pelajar juga boleh menyertai program kesukarelawan seperti membantu mangsa banjir, tanah runtuh dan kebakaran. Mereka boleh membantu dengan mengagihkan makanan, pakaian dan keperluan asas yang lain kepada mangsa-mangsa bencana alam. Tegasnya, dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan, para pelajar dapat menimba pengalaman baharu dan menyemai nilai-nilai murni dalam diri mereka.
Pada waktu yang sama, para pelajar juga boleh mengisi masa cuti sekolah dengan mengulang kaji pelajaran yang telah dipelajari di sekolah. Hal ini dapat membantu para pelajar untuk lebih memahami subjek-subjek yang sukar dan membuat persediaan awal sebelum sesi persekolahan yang baharu bermula. Sebagai contoh, para pelajar boleh membuat jadual belajar dan mengulang kaji setiap subjek mengikut kesesuaian masa. Para pelajar juga boleh berbincang dengan rakan-rakan untuk mengulang kaji secara berkumpulan. Kaedah ini lebih berkesan dan menyeronokkan kerana ia menggalakkan percambahan minda antara pelajar. Jika terdapat sebarang persoalan yang timbul ketika mengulang kaji, para pelajar boleh bertanya terus kepada guru-guru sama ada melalui panggilan telefon atau mesej di aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram. Intihannya, mengisi masa lapang dengan mengulang kaji pelajaran dapat membantu para pelajar untuk lebih bersedia menghadapi sesi persekolahan yang baharu kelak.
Seterusnya, para pelajar juga boleh mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersukan dan beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Aktiviti riadah bukan sahaja menyihatkan badan malahan ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Sebagai contoh, pada waktu petang, para pelajar boleh berjoging atau berbasikal di taman rekreasi yang berdekatan dengan kawasan perumahan. Selain itu, para pelajar juga boleh bermain bola sepak, badminton dan bola tampar bersama rakan-rakan. Sekiranya tidak mempunyai rakan untuk beriadah, para pelajar juga boleh mengajak ahli keluarga untuk bersama-sama melakukan aktiviti tersebut agar hubungan kekeluargaan dapat dieratkan. Melakukan aktiviti riadah dapat membantu para pelajar untuk mengisi masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat di samping mengekalkan gaya hidup yang sihat. Jelaslah bahawa aktiviti riadah merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pelajar untuk mengisi masa lapang mereka ketika musim cuti sekolah.
Konklusinya, banyak aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat boleh dilakukan oleh para pelajar untuk mengisi masa lapang mereka ketika musim cuti sekolah. Ibu bapa dan pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan para pelajar melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan tidak membuang masa dengan sia-sia. Peribahasa ada mengatakan, masa itu emas. Oleh itu, setiap individu perlu menghargai masa dan mengisi masa lapang dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat, ia secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian dan jati diri yang unggul dalam kalangan pelajar. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak ini dapat melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berupaya untuk memajukan negara ke persada antarabangsa. Generasi muda juga perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu agar kelangsungan hidup masyarakat majmuk di Malaysia terus berkekalan. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Diharapkan agar generasi muda hari ini dapat memikul amanah tersebut dan berusaha untuk memajukan diri dan negara.
806 words