Bahasa MelayuSukanKesihatanPendidikan

Cara-Cara Memupuk Minat Bersukan Dalam Kalangan Pelajar

Sukan merupakan aktiviti fizikal yang berupaya untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan seseorang individu. Selain itu, sukan juga dapat mengisi masa lapang dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakan dan ahli keluarga. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas yang menerangkan kepentingan bersukan dalam kehidupan seharian kita. Namun begitu, penglibatan pelajar dalam bidang sukan dilihat semakin berkurangan dan membimbangkan. Hal ini kerana pelajar pada masa kini lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain permainan video dan melayari media sosial. Sekiranya hal ini berterusan, tidak mustahil generasi muda hari ini akan menjadi masyarakat yang tidak aktif dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh diambil untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar? Antara inisiatif yang boleh diambil untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar adalah dengan memperkasakan peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak untuk bersukan. Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dan dihormati oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak dengan menunjukkan minat dan melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk beriadah dan bersukan bersama anak-anak pada hujung minggu. Aktiviti seperti berbasikal, berjoging dan bermain badminton dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping menyihatkan badan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menghantar anak-anak untuk menyertai akademi atau kelab sukan yang dikendalikan oleh jurulatih yang bertauliah. Hal ini dapat membantu anak-anak untuk mempelajari asas-asas sukan yang diminati dan seterusnya bergiat aktif dalam sukan tersebut. Intihannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat bersukan dalam kalangan anak-anak. Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah boleh menganjurkan lebih banyak aktiviti dan pertandingan sukan di peringkat sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh menganjurkan Sukan Tahunan Sekolah dan kejohanan merentas desa yang melibatkan semua pelajar. Aktiviti-aktiviti ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai dan merasai sendiri pengalaman bersukan. Pihak sekolah juga boleh menubuhkan lebih banyak kelab sukan dan permainan agar pelajar dapat menyertai kelab yang diminati. Kewujudan kelab-kelab sukan ini dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah di peringkat yang lebih tinggi. Tegasnya, pihak sekolah haruslah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bersesuaian bagi memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Pada masa yang sama, pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan juga perlu menyediakan lebih banyak kemudahan prasarana sukan yang lengkap dan kondusif untuk kegunaan rakyat khususnya golongan pelajar. Kemudahan prasarana sukan seperti padang, gelanggang, dan dewan sukan perlu dibina dengan lebih banyak di kawasan perumahan dan sekolah-sekolah. Hal ini bagi memudahkan para pelajar untuk menjalankan aktiviti sukan dengan lebih selamat dan selesa. Pihak kementerian juga boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah. Subjek ini perlu dipraktikkan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada teori di dalam kelas semata-mata. Sebagai contoh, guru-guru boleh membawa pelajar untuk melakukan aktiviti senaman dan sukan di padang pada waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Intihannya, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan prasarana sukan yang lengkap dan kondusif agar dapat menarik minat pelajar untuk menceburi bidang sukan. Seterusnya, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Media massa seperti televisyen, radio, dan media sosial haruslah menyiarkan lebih banyak program dan berita yang berkaitan dengan sukan. Rancangan-rancangan sukan yang berkualiti dan memberi inspirasi kepada golongan muda perlu diperbanyakkan agar dapat menyemai minat bersukan dalam kalangan mereka. Selain itu, media massa juga boleh memaparkan kejayaan-kejayaan atlet negara di peringkat antarabangsa agar dapat dijadikan contoh dan pembakar semangat kepada generasi muda untuk menceburi bidang sukan. Sebagai contoh, kejayaan atlet badminton negara merangkul pingat emas di Sukan Olimpik perlu dipaparkan secara meluas agar dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang sukan tersebut. Jelaslah bahawa media massa merupakan medium yang efektif dalam menyebarkan mesej dan memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Konklusinya, pelbagai langkah boleh diambil oleh semua pihak dalam memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Minat bersukan ini perlu disemai dalam diri setiap individu sejak kecil lagi agar menjadi amalan dan gaya hidup yang sihat. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, pelajar dapat mengisi masa lapang dengan lebih bermanfaat dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak bermoral. Selain itu, penglibatan dalam bidang sukan juga dapat menyihatkan tubuh badan dan mencerdaskan minda. Kerjasama dan komitmen daripada semua pihak amat penting dalam menjayakan usaha untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan pelajar. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan ini dapat melahirkan generasi muda yang aktif dan cergas serta mampu mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa. Bak kata pepatah, majulah sukan untuk negara. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong dan melibatkan diri dalam bidang sukan agar dapat melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan bersatu padu.
784 words