Bahasa MelayuKeselamatanPendidikanMasyarakat
Cara-Cara Mengatasi Masalah Keselamatan Kanak-Kanak
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa dalam kejadian tersebut. Saban hari, masalah keselamatan kanak-kanak ini sering meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan masyarakat kita terutamanya ibu dan bapa. Pada waktu ini, ramai ibu dan bapa yang bekerja dan meninggalkan anak mereka di bawah jagaan pengasuh atau pusat jagaan harian. Masalah ini terjadi berikutan daripada kegagalan orang dewasa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan dan keselamatan golongan kanak-kanak. Kes-kes yang berlaku di negara kita semakin menjadi-jadi dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga. Persoalannya, apakah cara-cara yang boleh diimplementasikan oleh semua pihak dalam mengelakkan kejadian yang mengancam keselamatan kanak-kanak ini berlaku lagi?
Sebagai pembuka tirai perbincangan, prakarsa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin adalah dengan mendidik mereka supaya berwaspada dengan orang sekeliling terutamanya orang yang tidak dikenali. Ibu bapa perlu memberikan penerangan yang lebih efektif agar anak-anak tidak mudah tertipu dengan orang asing yang cuba mendekati mereka. Misalnya, ajar anak-anak supaya tidak mengikut orang yang tidak dikenali walaupun individu tersebut memberikan gula-gula kepada anak anda. Hal ini kerana penjenayah selalunya akan menggunakan kanak-kanak yang masih mentah untuk mencapai objektif mereka. Selain itu, ajar anak anda bahawa mereka tidak seharusnya mendedahkan maklumat peribadi kepada orang lain dengan sewenang-wenangnya. Maklumat peribadi ini akan menjadi senjata atau kelebihan yang dimiliki oleh penjenayah terhadap anda dan keluarga. Intihannya, didikan kepada kanak-kanak tentang kepentingan menjaga keselamatan diri adalah penting bagi memastikan mereka sentiasa dilindungi dan tidak terpengaruh dengan helah penjenayah.
Seiring dengan itu, inisiatif yang harus digalas oleh ibu bapa ialah memastikan pergerakan anak-anak dipantau atau dikawal. Situasi yang sering kita dengar adalah kanak-kanak yang hilang ketika berada di pusat membeli belah. Apabila leka membeli-belah anak-anak akan berkeliaran dan tidak berada di sisi ibu bapa mereka. Perkara ini perlu dipandang serius oleh ibu bapa kerana jenayah sering berlaku apabila kita leka dan alpa. Sebagai langkah penyelesaian, ibu bapa boleh menggunakan teknologi untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Contohnya, penggunaan jam tangan yang mempunyai sistem kedudukan sejagat (GPS) dan hanya perlu disambungkan kepada telefon pintar ibu bapa untuk mengesan kedudukan anak-anak mereka. Alat ini sedikit sebanyak membantu mengawal pergerakan anak-anak terutamanya apabila berada di luar rumah. Walau bagaimanapun, pergerakan anak-anak yang berada di rumah juga harus dipantau dengan memasang kamera litar tertutup di tempat-tempat tertentu agar ibu bapa boleh menyemak jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Langkah lain yang boleh dilaksanakan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin adalah dengan memperkasakan khidmat penjagaan kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja dan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan harian dan pengasuh persendirian. Mutakhir ini, banyak kes yang melibatkan pusat jagaan harian dan pengasuh dalam penderaan kanak-kanak. Hal ini disebabkan pusat jagaan harian dan pengasuh tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyebabkan mereka tidak dipantau dari segi kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya memastikan pengasuh dan pusat jagaan harian berdaftar dengan pihak berkuasa agar keselamatan anak-anak terjamin. Selain itu, JKM juga boleh mempergiatkan lawatan mengejut ke pusat jagaan harian supaya mereka tidak leka dan cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka menjaga kanak-kanak di pusat jagaan masing-masing. Secara tuntas, usaha ini mampu mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anak-anak semasa ketiadaan ibu bapa mereka di sisi.
Pada masa yang sama, peranan masyarakat juga mustahak dalam memelihara keselamatan kanak-kanak. Masyarakat yang bertanggungjawab akan sentiasa mengambil tahu isu-isu semasa terutamanya yang melibatkan keselamatan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana mereka akan menjadikan setiap kejadian sebagai iktibar supaya lebih berwaspada. Sebagai contoh, kita sering mendengar kes penculikan kanak-kanak di sekolah. Oleh itu, sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita hendaklah melaporkan sebarang kejadian atau individu yang mencurigakan di kawasan sekolah mahupun di kawasan perumahan kita kepada pihak berkuasa. Usaha ini dapat membantu pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan di kawasan yang berisiko tinggi berlaku jenayah. Tambahan pula, dengan melaporkan kejadian yang tidak diingini, ia dapat membantu pihak berkuasa untuk memberkas penjenayah yang berleluasa di kawasan perumahan kita. Intihannya, masyarakat yang prihatin dapat menjamin keselamatan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah.
Akhir kalam, keselamatan kanak-kanak dapat dipertingkatkan dan dijamin dengan melakukan langkah-langkah yang telah dibincangkan. Tanggungjawab ini bukanlah terletak pada bahu ibu bapa dan penjaga sahaja, malahan semua pihak termasuklah masyarakat dan pihak berkuasa. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam memastikan tiada lagi kes jenayah terhadap kanak-kanak berlaku di dalam negara kita. Janganlah kita bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini penting kerana keselamatan merupakan tunjang kehidupan manusia dan tanpa jaminan keselamatan, kehidupan kita pasti terancam. Semoga usaha yang dilaksanakan secara kolektif oleh semua pihak dapat memastikan golongan kanak-kanak hari ini membesar menjadi generasi yang dapat memacu negara ke arah kegemilangan. Kelak, mereka akan menjadi pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan negara yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju lain.
815 words