Bahasa MelayuEkonomiPendidikanMasyarakat
Faedah-Faedah Menabung Untuk Masa Hadapan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, menabung didefinisikan sebagai menyimpan wang di dalam tabung atau bank. Amalan menabung merupakan amalan yang mulia dan perlu dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Menabung juga sering kali dikaitkan dengan amalan berjimat cermat. Hal ini kerana, amalan menabung dapat mengelakkan seseorang itu daripada berbelanja secara boros dan bersikap membazir. Amalan menabung ini boleh dimulakan dengan menyimpan wang di rumah, di dalam bekas-bekas tertentu ataupun di bank. Walaupun menabung merupakan satu amalan yang mudah untuk dilakukan, namun masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mengamalkan tabiat menabung dalam kehidupan seharian mereka. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh diperoleh sekiranya kita mengamalkan tabiat menabung dalam kehidupan seharian terutamanya untuk kegunaan pada masa hadapan?
Antara faedah yang boleh diperoleh sekiranya kita menabung adalah kita dapat mengurangkan beban kewangan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, kita dapat menggunakan wang yang disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan terutamanya ketika kita berada dalam kesusahan. Contohnya, jika kita ditimpa kemalangan atau menghidap penyakit, wang simpanan tersebut boleh digunakan untuk membayar kos rawatan yang selalunya menelan belanja yang tinggi. Tambahan pula, jika kita kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan, wang simpanan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan seharian sementara kita mencari pekerjaan baharu. Intihannya, menabung merupakan amalan yang dapat mengurangkan beban kewangan kita pada masa hadapan.
Pada waktu yang sama, menabung juga dapat mengelakkan kita daripada berhutang. Jika kita lihat pada hari ini, kebanyakan daripada masyarakat kita gemar berhutang untuk membeli barangan keperluan dan ada juga yang berhutang untuk membeli barangan mewah. Tabiat suka berhutang ini akan memakan diri sendiri kelak. Misalnya, jika kita berhutang dengan along, kita akan dikenakan faedah yang tinggi dan akan mengakibatkan kita sukar untuk melangsaikan hutang tersebut. Kesannya, kita akan diisytiharkan muflis dan tidak boleh melakukan pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan. Oleh itu, amalan menabung mampu mengelakkan kita daripada berhutang dan menanggung beban kewangan kelak.
Selain itu, menabung juga mampu menjamin masa hadapan yang lebih cerah. Simpanan wang yang kita lakukan boleh digunakan untuk membiayai yuran pengajian anak-anak di institusi pengajian tinggi. Seperti yang kita tahu, kos untuk melanjutkan pelajaran bukanlah murah. Yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian perlu diambil kira sebelum anak-anak dihantar untuk melanjutkan pelajaran. Hal ini selari dengan peribahasa Melayu yang menyatakan, sediakan payung sebelum hujan. Jika kita tidak merancang dari sekarang, tidak mustahil anak-anak kita terpaksa melupakan hasrat mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, dengan adanya simpanan yang mencukupi, ia mampu menjamin masa hadapan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Seterusnya, menabung juga dapat membantu kita mencapai impian atau matlamat dalam hidup. Hal ini kerana, apabila kita mempunyai wang simpanan yang banyak, kita mampu untuk membeli barangan yang kita inginkan sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, jika kita berhasrat untuk melancong ke luar negara, kita boleh menggunakan wang simpanan tersebut untuk perbelanjaan di sana. Selain itu, menabung juga dapat mendisiplinkan diri kita untuk merancang kewangan kita dengan lebih baik. Perancangan kewangan yang baik dapat menjamin keharmonian hidup berkeluarga. Jika kita berhasrat untuk mendirikan rumah tangga, kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai wang yang mencukupi untuk majlis perkahwinan dan juga untuk kegunaan selepas berkahwin. Tuntasnya, menabung adalah amalan yang dapat membantu kita untuk mencapai impian kita dan secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.
Akhir kalam, amalan menabung merupakan amalan yang murni dan perlu dipupuk dalam diri setiap individu. Banyak kebaikan dan faedah yang boleh diperoleh sekiranya kita mengamalkan tabiat menabung ini. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak untuk menabung sejak kecil lagi supaya amalan ini menjadi kebiasaan sehingga mereka dewasa. Pihak kerajaan dan swasta juga perlu bekerjasama dalam menggalakkan masyarakat untuk menabung. Misalnya, pihak kerajaan boleh menyediakan insentif kepada mereka yang membuat simpanan di bank-bank tempatan dan pihak swasta boleh menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan menabung untuk masa hadapan. Sekiranya usaha ini dapat direalisasikan, sudah pasti masyarakat dapat merasai kebaikan dan manfaat daripada amalan menabung ini. Semoga amalan menabung ini menjadi budaya yang dipraktikkan oleh masyarakat di Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi yang semakin mencabar. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Walaupun kita menyimpan dalam jumlah yang kecil, ia bakal memberi pulangan yang besar pada masa hadapan kelak.
688 words