Bahasa MelayuKesihatanMasyarakatPendidikan
Faktor Remaja Terjebak Dalam Penyalahgunaan Dadah
Marcapada ini, arus modenisasi yang kian rancak telah membawa manusia ke lembah pembangunan yang berteraskan teknologi. Namun begitu, kerancakan pembangunan ini secara tidak langsung telah menyebabkan pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam kalangan masyarakat. Antara isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat kita adalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Isu ini bukanlah perkara asing di Malaysia, malah ia telah lama dibincangkan di segenap lapisan masyarakat. Namun begitu, tiada ubat yang mujarab ditemui untuk mengubati kemelut ini dan ia masih menjadi barah yang mengancam kesejahteraan rakyat dan negara. Oleh itu, wajar untuk kita mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan golongan remaja terlibat dengan najis dadah ini.
Antara faktor utama yang mendorong kepada penyalahgunaan dadah adalah kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada keluarga. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan pekerjaan telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni. Hal ini menyebabkan golongan remaja tidak mendapat perhatian yang secukupnya daripada keluarga mereka dan berisiko untuk terlibat dengan gejala sosial seperti najis dadah. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti merokok dan melepak di pusat membeli-belah. Lama-kelamaan, mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengambil dadah dan merasakan bahawa najis dadah tersebut dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Intihannya, ibu bapa perlu meluangkan masa yang lebih bersama anak-anak mereka dan menerangkan kepada mereka tentang bahaya dadah supaya golongan remaja ini tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan terjerumus ke lembah kehinaan.
Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja ialah kurangnya didikan agama dan moral. Setiap agama di dunia ini melarang penganutnya untuk melakukan perkara-perkara yang memudaratkan seperti pengambilan dadah. Namun begitu, pengaruh rakan sebaya dan masyarakat sekeliling yang negatif telah menyebabkan golongan remaja terutamanya untuk mengambil bahan terlarang itu. Hal ini demikian kerana pegangan agama yang tidak kuat dan kurangnya didikan moral menyebabkan mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Mereka tidak berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu perkara dan mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan sebaya untuk mencuba perkara baharu yang tidak pernah dialami oleh mereka. Tegasnya, remaja yang kurang didikan agama dan moral akan mudah terjerumus ke lembah penagihan dadah seterusnya menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.
Pada masa yang sama, pengaruh media massa turut menjadi punca yang mendorong golongan remaja untuk menyalahgunakan dadah. Media massa merupakan medium yang berpengaruh dan berkuasa dalam mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang individu. Pada era teknologi ini, hampir semua maklumat yang dicari boleh didapati dengan mudah dan cepat. Namun begitu, maklumat yang disalurkan menerusi media massa ini tidak semuanya baik. Terdapat juga maklumat yang tidak ditapis dan memberi kesan buruk kepada para penonton khususnya golongan remaja. Misalnya, program-program televisyen seperti drama dan filem yang memaparkan adegan-adegan yang tidak sepatutnya seperti cara-cara menghisap dadah. Hal ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pemikiran remaja yang ingin tahu cara-cara menghisap dadah. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawasi dan menetapkan had masa untuk anak-anak mereka menonton televisyen dan melayari internet supaya tidak terdedah dengan maklumat-maklumat yang negatif.
Faktor lain yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah adalah berpunca daripada sikap remaja itu sendiri. Golongan ini yang masih berumur setahun jagung, darah setampuk pinang ini mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sikap memberontak dan ingin tahu yang membuak-buak lazimnya mendorong mereka untuk mencuba dadah yang mampu merosakkan diri dan hidup mereka. Mereka beranggapan bahawa pengambilan dadah mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Selain itu, sikap suka berseronok dan bergaul dengan rakan-rakan yang negatif akan menyebabkan golongan remaja terlibat dengan najis dadah. Pergaulan bebas dengan rakan sebaya juga menyebabkan remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti menghisap rokok, dadah dan seks bebas. Jelaslah bahawa sikap remaja yang suka mencuba dan bergaul dengan rakan-rakan yang negatif antara faktor yang menjurus ke arah kemudaratan.
Tuntasnya, banyak faktor yang menyebabkan golongan remaja terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah. Setiap lapisan masyarakat wajar mengambil tahu dan cakna dengan masalah yang berlaku dalam kalangan golongan muda. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana remaja merupakan generasi yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan swasta juga perlu bekerjasama dan berganding bahu mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah ini daripada berleluasa. Semoga usaha-usaha yang diambil oleh semua pihak mampu melahirkan generasi yang berwawasan dan sentiasa melakukan perkara yang positif dalam usaha memajukan negara ke persada antarabangsa. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak tersalah memilih rakan sebaya agar tidak terjerumus dalam kancah gejala sosial yang tidak berfaedah. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
739 words