Bahasa MelayuPendidikanSukanPerpaduan

Kebaikan Dan Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kegiatan kokurikulum juga merupakan salah satu aktiviti yang wajib disertai oleh setiap murid di sekolah. Antara kegiatan kokurikulum yang terdapat di sekolah ialah kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta badan beruniform. Penyertaan dalam aktiviti kokurikulum banyak memberi manfaat kepada murid-murid. Namun begitu, masih ramai murid yang tidak menyedari akan faedah dan kebaikan yang diperoleh apabila mereka menyertai aktiviti kokurikulum ini. Persoalannya, apakah faedah dan kebaikan yang diperoleh oleh murid-murid apabila mereka melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum di sekolah? Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah ialah para pelajar dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang bermanfaat. Hal ini kerana kebiasaannya aktiviti kokurikulum akan diadakan pada waktu petang sama ada pada hari persekolahan ataupun pada hari Sabtu dan Ahad. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, murid-murid tidak akan terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, merokok dan bermain permainan video sehingga lewat malam. Masa lapang yang diisi dengan aktiviti kokurikulum ini juga dapat menghindarkan murid-murid daripada terlibat dengan gejala sosial seperti lumba haram, gengsterisme dan vandalisme. Bak kata pepatah, masa itu emas. Oleh itu, murid-murid perlu bijak dalam merancang dan membahagikan masa mereka agar tidak terjerumus ke dalam lembah kehinaan. Tegasnya, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. Selain itu, aktiviti kokurikulum juga dapat menyihatkan tubuh badan dan mencerdaskan otak murid-murid. Hal ini demikian kerana, aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan memerlukan pergerakan fizikal yang banyak. Sebagai contoh, aktiviti permainan seperti bola sepak, bola jaring, badminton dan berbasikal dapat menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum ini juga, murid-murid dapat membina stamina dan meningkatkan imunisasi badan agar tidak mudah dijangkiti penyakit. Secara tidak langsung, murid-murid juga dapat mengelakkan diri daripada menghidap obesiti yang mampu mengundang pelbagai penyakit kronik. Pemilihan aktiviti kokurikulum yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan murid juga penting agar kesihatan fizikal dan mental murid tersebut terjamin. Oleh itu, penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan tubuh badan dan mencerdaskan otak mereka. Di samping itu, penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid yang berbilang kaum. Hal ini kerana aktiviti berkumpulan seperti persembahan koir dan kawad kaki memerlukan persefahaman dan kerjasama antara satu sama lain untuk menjayakannya. Sebagai contoh, aktiviti kawad kaki yang memerlukan murid-murid berbaris dan berkawad mengikut arahan dan alunan muzik yang dimainkan. Tanpa persefahaman dan kerjasama antara ahli kumpulan, sudah pasti aktiviti kawad kaki tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Secara tidak langsung, aktiviti kokurikulum ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara murid yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Intihannya, perpaduan dan keharmonian antara kaum dapat dipupuk melalui penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Pada masa yang sama, aktiviti kokurikulum juga dapat mencungkil dan memupuk bakat kepimpinan dalam kalangan murid-murid. Hal ini kerana setiap aktiviti kokurikulum seperti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta badan beruniform akan melantik ahli jawatankuasa yang terdiri daripada kalangan murid-murid sendiri. Jawatan-jawatan yang diwujudkan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa kecil merupakan platform untuk murid-murid belajar menjadi seorang pemimpin. Mereka akan dilatih untuk menguruskan aktiviti persatuan di samping melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan mengikut portfolio masing-masing. Sebagai contoh, murid yang memegang jawatan pengerusi akan memimpin ahli jawatankuasa yang lain untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah kepada ahli persatuan. Jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah dapat mencungkil dan memupuk bakat kepimpinan dalam kalangan murid-murid. Kesimpulannya, banyak kebaikan dan faedah yang diperoleh oleh murid-murid apabila mereka menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah. Penyertaan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum ini juga dapat membentuk keperibadian dan sahsiah yang unggul dalam diri mereka. Sikap bekerjasama, hormat-menghormati dan bertanggungjawab dapat dipupuk melalui aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan. Selain itu, murid-murid juga dapat belajar untuk berdikari dan menguruskan sesuatu aktiviti dengan baik dan teratur. Pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu menggalakkan murid-murid untuk menyertai aktiviti kokurikulum agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Diharapkan agar murid-murid yang aktif dalam aktiviti kokurikulum ini dapat menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat dan negara kelak. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, penglibatan murid-murid dalam aktiviti kokurikulum amat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan.
702 words