Bahasa MelayuTeknologiPendidikanKesihatan
Kebaikan Dan Keburukan Penggunaan Telefon Pintar Dalam Kalangan Pelajar
Telefon pintar merupakan sebuah peranti yang amat berguna pada zaman teknologi maklumat kini. Telefon pintar boleh didefinisikan sebagai telefon bimbit yang mempunyai ciri-ciri komputer dan skrin paparan yang lebih besar. Hal ini membolehkan telefon pintar menjalankan fungsi-fungsi yang lebih kompleks berbanding telefon bimbit biasa. Telefon pintar juga dilengkapi dengan sistem pengoperasian mudah alih yang membolehkan pelbagai aplikasi dimuat turun dan digunakan oleh pengguna. Kecanggihan telefon pintar ini juga telah menyebabkan penggunaannya yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat termasuklah golongan pelajar. Namun begitu, penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar mendatangkan pelbagai impak, sama ada positif mahupun negatif.
Antara kebaikan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar ialah ia dapat memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP). Hal ini kerana telefon pintar berupaya untuk mengakses internet dan membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih mudah dan pantas. Pelajar hanya perlu menggunakan enjin carian seperti Google dan memasukkan kata kunci yang ingin dicari. Pelajar juga boleh melayari laman sesawang yang berinformasi seperti YouTube untuk menonton video-video pembelajaran yang dimuat naik oleh guru-guru di seluruh dunia. Sebagai contoh, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik COVID-19, para guru dan pelajar menggunakan telefon pintar untuk menjalankan aktiviti pembelajaran secara dalam talian. Tegasnya, penggunaan telefon pintar berupaya untuk memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran.
Selain itu, telefon pintar juga dapat memudahkan komunikasi antara pelajar dengan guru dan rakan-rakan. Kewujudan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram membolehkan pelajar untuk berbincang dengan rakan-rakan tentang aktiviti dan tugasan sekolah. Pelajar juga dapat berhubung dengan guru-guru sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tugasan yang diberikan. Di samping itu, ibu bapa juga dapat memantau dan mengetahui pergerakan anak-anak mereka dengan menggunakan telefon pintar. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka. Intihannya, telefon pintar mampu menjadi medium komunikasi yang berkesan antara pelajar, ibu bapa dan guru-guru.
Namun begitu, penggunaan telefon pintar juga mendatangkan pelbagai keburukan kepada pelajar. Antaranya ialah ia boleh menjejaskan kesihatan pelajar terutamanya dari segi fizikal dan mental. Penggunaan telefon pintar yang berlebihan boleh menyebabkan masalah seperti kerosakan mata akibat pendedahan kepada cahaya skrin yang berpanjangan. Selain itu, pelajar juga akan mengalami masalah obesiti dan sakit belakang jika kurang melakukan aktiviti fizikal dan terlalu banyak menghabiskan masa menggunakan telefon pintar. Penggunaan telefon pintar secara berlebihan juga akan mengganggu waktu tidur pelajar dan seterusnya menjejaskan kesihatan mental mereka. Kesihatan mental yang tidak stabil akan mengakibatkan pelajar tidak dapat memberikan tumpuan di dalam kelas dan menjejaskan pencapaian akademik mereka. Jelaslah bahawa penggunaan telefon pintar secara berlebihan dan tidak terkawal akan memberi impak yang negatif kepada kesihatan fizikal dan mental pelajar.
Di samping itu, keburukan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar ialah mereka akan terdedah kepada pelbagai maklumat yang tidak sahih dan bahan-bahan negatif. Hal ini kerana maklumat-maklumat di internet dan media sosial tidak ditapis dan dipantau oleh pihak berkuasa. Pelajar yang tidak dididik untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat akan mudah terpengaruh dan terdedah dengan perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, pelajar-pelajar sekolah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk mencuba perkara-perkara yang tidak bermoral seperti menghisap rokok, pergaulan bebas dan vandalisme. Perkara-perkara sebegini dapat diakses dengan mudah melalui telefon pintar dan ia akan mempengaruhi minda dan tingkah laku pelajar. Tuntasnya, penggunaan telefon pintar yang tidak dikawal akan menyebabkan pelajar terdedah kepada pelbagai maklumat negatif yang seterusnya merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka.
Kesimpulannya, penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan. Ibu bapa dan guru-guru haruslah memantau dan mengawal penggunaan telefon pintar agar ia tidak disalahgunakan oleh pelajar. Pelajar juga perlu berdisiplin dan menggunakan telefon pintar dengan bijak agar ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri mereka. Pelbagai aplikasi yang bermanfaat boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar seperti aplikasi pembelajaran dan permainan yang menguji minda. Telefon pintar merupakan sebuah peranti yang banyak membantu kehidupan manusia sekiranya ia digunakan dengan cara yang betul. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Tepuk dada tanya selera membawa maksud bahawa setiap tindakan yang ingin dilakukan perlulah difikirkan dengan sebaiknya agar tidak mendatangkan masalah di kemudian hari. Oleh itu, gunakanlah telefon pintar dengan berhemah agar ia memberi manfaat kepada kita semua.
668 words