Bahasa MelayuPendidikanKebersihanPerpaduan

Kebaikan Membawa Bekal Ke Sekolah

Amalan membawa bekal ke sekolah semakin dipinggirkan dalam kalangan pelajar sekolah masa kini. Mereka lebih gemar membeli makanan di kantin sekolah atau di kedai-kedai berhampiran sekolah. Sejak kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan kempen galakan membawa bekal ke sekolah bagi menerapkan amalan berjimat cermat dalam kalangan pelajar berikutan kenaikan harga barangan di pasaran. Namun begitu, ramai pelajar masih tidak menyedari kebaikan membawa bekal ke sekolah. Persoalannya, apakah kebaikan amalan membawa bekal ke sekolah? Kebaikan utama membawa bekal ke sekolah ialah dapat menjimatkan wang perbelanjaan. Amalan membawa bekal ke sekolah sememangnya dapat meringankan beban kewangan pelajar. Dalam hal ini, pelajar tidak perlu lagi meminta wang saku yang banyak daripada ibu bapa. Wang saku yang berlebihan itu boleh disimpan di dalam tabung atau digunakan untuk membeli barang keperluan lain seperti buku rujukan dan alat tulis. Dengan berbuat demikian, para pelajar dapat mengamalkan sikap berjimat cermat sejak di bangku sekolah lagi. Sesungguhnya, amalan membawa bekal ke sekolah mampu mengurangkan beban kewangan pelajar. Di samping itu, amalan membawa bekal juga dapat menjamin kebersihan dan keselamatan makanan. Makanan yang disediakan sendiri oleh ibu bapa di rumah sudah pasti bersih dan terjamin cara penyediaannya. Ibu bapa akan memastikan setiap bahan yang digunakan adalah segar dan berkualiti. Tambahan pula, makanan yang disediakan sendiri akan dimasak mengikut cita rasa pelajar. Berbanding dengan makanan yang dibeli di kantin sekolah, kebersihannya tidak terjamin sepenuhnya. Makanan yang dibiarkan terdedah terlalu lama boleh dicemari lalat dan kuman. Amalan membawa bekal ke sekolah sememangnya dapat menjamin kebersihan dan keselamatan makanan. Selain itu, amalan membawa bekal ke sekolah juga dapat memupuk amalan berkongsi makanan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang membawa bekal dapat berkongsi makanan mereka dengan rakan-rakan. Amalan berkongsi makanan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar. Dalam hal ini, pelajar dapat berinteraksi antara satu sama lain dan seterusnya memupuk semangat perpaduan kaum di sekolah. Jelaslah bahawa amalan membawa bekal ke sekolah dapat memupuk perpaduan kaum. Kesimpulannya, pelbagai faedah yang diperoleh melalui amalan membawa bekal ke sekolah. Semua pihak terutamanya ibu bapa dan pihak sekolah haruslah berganding bahu dalam usaha menggalakkan amalan membawa bekal ke sekolah. Kempen kesedaran tentang kebaikan membawa bekal perlu dipergiat agar dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan amalan tersebut. Diharapkan agar lebih ramai pelajar dapat mengamalkan budaya membawa bekal ke sekolah.
372 words