Bahasa MelayuPendidikanBudayaMasyarakat
Kepentingan Mempelajari Dan Menguasai Bahasa Asing
Bahasa merupakan alat perhubungan dan komunikasi antara manusia yang paling utama di dunia ini. Kepentingan menguasai pelbagai bahasa telah ditekankan sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi dimana baginda telah meminta seorang sahabat yang dikasihi untuk menguasai bahasa kaum Yahudi yang pada ketika itu sangat asing dalam kalangan orang Islam. Baginda juga telah mempelajari bahasa-bahasa asing yang telah diketahui umum pada waktu itu bagi memudahkan penyampaian mesej dakwah Islamiah ke serata dunia. Bahasa-bahasa dunia yang utama seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, dan bahasa Arab dikuasai oleh ratusan juta penduduk dunia dan membolehkan penggunanya menguasai pelbagai bidang ilmu. Dewasa ini, penguasaan pelbagai bahasa atau dikenali sebagai poliglot semakin mendapat tempat dalam masyarakat dunia dan memberi kelebihan kepada mereka. Jelas bahawa menguasai bahasa asing merupakan satu kelebihan kepada setiap individu. Namun begitu, apakah kepentingan dalam mempelajari dan menguasai bahasa asing selain daripada bahasa ibunda?
Antara kepentingan mempelajari dan menguasai bahasa asing adalah ia dapat memudahkan kita untuk berkomunikasi apabila berada di luar negara. Pada zaman yang serba canggih ini, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita pergi ke mana-mana sahaja di dunia ini. Hal ini disokong dengan kemajuan teknologi yang menghasilkan kapal terbang dan kapal laut yang mampu memuatkan ratusan penumpang dalam satu-satu masa. Apabila kita melancong ke luar negara, sudah semestinya kita perlu berkomunikasi dengan masyarakat di negara tersebut. Jika kita menguasai bahasa mereka, ia akan memudahkan kita untuk bertanya dan mendapatkan maklumat yang kita inginkan. Sebagai contoh, kita melancong ke negara China dan ingin menaiki pengangkutan awam di sana. Kita tidak perlu bersusah payah untuk bertutur dalam bahasa isyarat kerana kita boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan sudah semestinya masyarakat di sana akan membantu kita dengan senang hati. Oleh itu, amatlah penting untuk mempelajari dan menguasai bahasa asing agar kita tidak kekok untuk berkomunikasi apabila berada di negara luar.
Selain itu, menguasai bahasa asing dapat membantu kita dalam bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana banyak pusat-pusat pengajian awam dan swasta di dalam dan luar negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar. Misalnya, jika kita ingin melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa Arab dengan baik supaya kita dapat memahami pengajaran yang disampaikan oleh pensyarah di sana. Tambahan pula, di Malaysia juga terdapat banyak pusat pengajian swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal ini akan menyukarkan para pelajar untuk memahami pengajaran yang disampaikan oleh pensyarah sekiranya mereka tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jelaslah bahawa penguasaan bahasa asing amat penting dalam memastikan kelangsungan pembelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negara.
Kepentingan lain dalam menguasai bahasa asing adalah dapat membantu kita untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang cerah. Sesetengah syarikat tempatan dan antarabangsa amat mementingkan kemahiran komunikasi bahasa asing dalam pengambilan pekerja. Hal ini kerana syarikat-syarikat tersebut ingin meluaskan pasaran dan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, jika kita boleh bertutur dalam bahasa Jepun dan fasih dalam bahasa tersebut, kita lebih berpeluang untuk diterima bekerja di syarikat-syarikat Jepun di Malaysia. Penguasaan bahasa asing ini juga penting dalam urusan pekerjaan seperti mesyuarat, perjumpaan dan pembentangan kertas kerja. Oleh itu, penguasaan bahasa asing yang baik mampu memberikan kelebihan kepada seseorang individu dalam bidang pekerjaan.
Akhir sekali, penguasaan bahasa asing yang baik dapat membantu kita menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini tidak tertumpu kepada satu bahasa sahaja. Terdapat jutaan buku-buku ilmiah dan ensiklopedia yang ditulis dalam pelbagai bahasa di dunia ini. Sekiranya kita menguasai bahasa asing, sudah pasti kita dapat membaca dan memahami buku-buku ilmiah tersebut. Sebagai contoh, buku-buku perubatan yang ditulis oleh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina banyak menggunakan bahasa Arab dan Parsi. Kita akan memperoleh pelbagai ilmu baharu yang berguna jika kita menterjemahkan penulisan beliau ke dalam bahasa Melayu. Natijahnya, penguasaan bahasa asing amat penting dalam membantu kita menimba ilmu pengetahuan yang terdapat di seluruh pelusuk dunia ini.
Konklusinya, terdapat banyak kepentingan dalam mempelajari dan menguasai bahasa asing. Kita seharusnya berusaha untuk mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa asing agar kita tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dunia. Penguasaan bahasa asing juga membolehkan kita untuk berinteraksi dengan masyarakat di seluruh dunia dan memahami budaya mereka dengan lebih dekat. Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk mempelajari bahasa asing demi kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat. Penguasaan bahasa asing juga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti dan seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Semoga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dan berupaya untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.
750 words