Bahasa MelayuBudayaPendidikanEkonomi
Kepentingan Mengekalkan Bangunan Bersejarah
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah yang unik dan tersendiri. Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada zaman kegemilangannya, seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan pantai timur Sumatera berada di bawah naungannya. Seterusnya, negara kita telah dijajah oleh beberapa kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Rentetan daripada sejarah tersebut, Malaysia telah mewarisi pelbagai bangunan bersejarah yang sebahagian besarnya masih berdiri kukuh sehingga ke hari ini. Tinggalan sejarah yang unik ini sewajarnya dipulihara dan diwarisi oleh generasi muda agar sentiasa subur dalam ingatan mereka. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan dalam mengekalkan bangunan bersejarah di negara kita?
Antara kepentingan memelihara bangunan bersejarah adalah untuk mengekalkan keindahan seni bina warisan negara. Bangunan-bangunan bersejarah yang masih wujud di negara kita ini mempunyai keunikan dan keindahan seni bina yang tersendiri. Sebagai contoh, Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di Kuala Lumpur merupakan sebuah bangunan yang dibina pada tahun 1894 dan siap pada tahun 1897. Bangunan ini telah direka bentuk oleh arkitek British yang bernama A.C. Norman dan A.B. Hubback. Seni bina Moor yang terdapat pada bangunan ini menyerlahkan lagi keunikan dan keindahannya. Bangunan ini juga pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri-negeri Melayu Bersekutu, Mahkamah Agung dan juga Mahkamah Persekutuan. Selain itu, terdapat pelbagai lagi bangunan bersejarah di Malaysia seperti Kota A Famosa, Istana Kellie dan Rumah Api Tanjung Rachado. Tuntasnya, bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dipelihara dan dijaga agar keunikan seni binanya dapat dilihat dan dihargai oleh generasi akan datang.
Selain itu, bangunan bersejarah juga dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong asing. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan mampu menarik minat pelancong untuk berkunjung ke sini. Sebagai contoh, Muzium Negara yang terletak di Kuala Lumpur merupakan antara muzium yang sering dikunjungi oleh pelancong. Hal ini kerana, Muzium Negara menyimpan pelbagai khazanah dan artifak yang bersejarah dan penting kepada negara kita. Bangunan-bangunan bersejarah juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara menerusi aktiviti pelancongan. Pelancong yang melawat ke tempat-tempat bersejarah ini secara tidak langsung akan berbelanja dan menggunakan perkhidmatan yang terdapat di kawasan tersebut. Intihannya, bangunan bersejarah dapat membantu meningkatkan industri pelancongan di negara kita.
Di samping itu, bangunan bersejarah juga berupaya untuk memberikan kesedaran dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan muda. Bangunan-bangunan bersejarah ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran dan maklumat tentang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dahulu. Sebagai contoh, Kota A Famosa yang terletak di Melaka merupakan sebuah kubu pertahanan yang dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluk Melaka pada tahun 1511. Kota ini telah dibina bagi mengukuhkan lagi kedudukan Portugis di Melaka setelah berjaya menewaskan Kesultanan Melayu Melaka. Selain itu, penjara Pudu yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur juga menyimpan seribu satu sejarah yang perlu diketahui oleh masyarakat. Penjara ini telah dibina oleh pihak British pada tahun 1891 dan siap pada tahun 1895. Penjara ini juga pernah menempatkan banduan yang kesalahannya melibatkan jenayah berat seperti rompakan dan pengedaran dadah. Tuntasnya, bangunan-bangunan bersejarah ini mampu memberikan kesedaran dan iktibar kepada masyarakat agar peristiwa yang berlaku suatu ketika dahulu tidak berulang kembali.
Pada masa yang sama, bangunan bersejarah juga mampu memainkan peranan penting dalam pendidikan di negara ini. Hal ini kerana bangunan bersejarah dapat memberikan maklumat dan pengetahuan tentang sejarah negara kepada para pelajar. Sebagai contoh, dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah, para pelajar akan mendapat ilmu pengetahuan baharu yang tidak terdapat di dalam buku teks. Lawatan ke tempat-tempat bersejarah dapat memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri tinggalan sejarah yang terdapat di negara kita. Perkara ini bertepatan dengan pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Apabila para pelajar didedahkan dengan tempat-tempat bersejarah, mereka akan lebih menghargai dan menyayangi warisan negara kita. Intihannya, pemeliharaan bangunan bersejarah amat penting dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Kesimpulannya, bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini wajar untuk dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang. Bangunan bersejarah merupakan khazanah negara yang tidak ternilai harganya dan ia juga melambangkan kedaulatan negara kita. Usaha untuk mengekalkan bangunan bersejarah ini bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, malahan ia perlu dijayakan dengan kerjasama semua pihak. Setiap anggota masyarakat perlu sedar akan kepentingan bangunan bersejarah kepada negara dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mengekalkan warisan tersebut. Kerjasama yang erat antara semua pihak ibarat peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Semoga bangunan-bangunan bersejarah di negara kita akan terus dipelihara dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang agar warisan tersebut terus kekal dalam lipatan sejarah negara.
739 words