Bahasa MelayuKesihatanMasyarakatSukan
Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan
Saban hari, kita dapat melihat atau menyertai aktiviti-aktiviti riadah yang dijalankan di kawasan perumahan kita. Aktiviti riadah boleh didefinisikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran. Antara contoh aktiviti riadah ialah senamrobik, berbasikal, berjoging dan sebagainya. Melakukan aktiviti riadah merupakan amalan yang mulia dan berfaedah yang memberikan impak positif kepada masyarakat dan negara. Persis kata peribahasa, badan cergas otak cerdas yang menerangkan bahawa kepentingan beriadah dapat menjamin kesihatan masyarakat secara fizikal dan mental. Oleh itu, wajar untuk kita membincangkan apakah faedah-faedah yang akan diperoleh sekiranya kita mengamalkan aktiviti riadah dalam kehidupan seharian.
Antara kemaslahatan yang utama dalam melakukan aktiviti riadah adalah kesihatan diri yang terjamin. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa apabila kita beriadah, tubuh badan kita akan mengeluarkan peluh dan melakukan pergerakan yang banyak. Pergerakan yang aktif dapat menguatkan otot-otot badan dan membantu sistem perkumuhan manusia berfungsi dengan lebih lancar. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada menghidapi penyakit kronik seperti penyakit jantung, asma dan kencing manis. Senario ini amat penting dalam kelangsungan kehidupan kita di samping dapat mengurangkan kos perbelanjaan perubatan yang semakin meningkat saban tahun. Izharnya, beriadah dapat menjamin taraf kesihatan manusia ke tahap yang lebih baik.
Sejajar dengan itu, aktiviti riadah juga dapat membantu kita mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Masa lapang merupakan waktu yang terluang daripada melakukan rutin harian seperti bekerja dan belajar. Pada masa ini, ramai golongan muda yang menghabiskan masa lapang mereka melayari internet dan bermain permainan video sehingga lewat malam. Tabiat ini tidak baik dan akan mengganggu masa tidur mereka yang seterusnya menjejaskan kesihatan mereka. Oleh itu, aktiviti riadah seperti berjoging dan berbasikal dapat mengisi masa lapang mereka agar tidak terjebak dengan perkara yang sia-sia. Kesannya, golongan muda dapat mendisiplinkan diri dan menggunakan masa yang terluang untuk perkara yang bermanfaat.
Selain itu, aktiviti riadah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama masyarakat. Semasa melakukan aktiviti riadah, kita digalakkan untuk melakukannya bersama-sama dengan ahli keluarga ataupun rakan-rakan. Hal ini kerana, kita akan mendapat semangat untuk bersaing secara sihat dan melakukan yang terbaik dalam aktiviti tersebut. Misalnya, semasa berjoging, kita akan berlumba untuk menamatkan larian dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan sesama kita. Kebelakangan ini, banyak aktiviti larian yang dianjurkan di kawasan bandar dan luar bandar. Penyertaan dalam aktiviti seperti ini mampu mengeratkan hubungan sesama masyarakat majmuk di negara ini dan mengeratkan perpaduan kaum. Tuntasnya, beriadah merupakan aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.
Aktiviti riadah juga penting dalam mengurangkan tekanan atau stres dalam kalangan masyarakat. Umum mengetahui bahawa tekanan merupakan antara punca penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan berlaku. Tekanan yang tidak dikawal akan memberi impak yang negatif kepada diri kita dan juga masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, tekanan di tempat kerja yang tidak dapat diuruskan dengan baik akan menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dan mencederakan rakan sekerjanya. Oleh itu, dengan melakukan aktiviti riadah, kita dapat melupakan seketika masalah yang dihadapi dan merehatkan minda kita agar dapat berfungsi dengan lebih baik. Hal ini persis dengan peribahasa Melayu yang berbunyi, sambil menyelam minum air di mana aktiviti riadah memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental.
Kesimpulannya, banyak kepentingan dan kemaslahatan yang dapat diperoleh jika kita mengamalkan aktiviti riadah dalam kehidupan seharian. Kesihatan merupakan aset paling berharga yang telah dikurniakan dan dianugerahkan kepada kita sebagai manusia. Tanpa kesihatan yang baik, kita tidak mampu untuk melakukan pekerjaan atau mencapai kejayaan yang cemerlang. Pihak yang berwajib juga perlu berganding bahu dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang kondusif agar aktiviti riadah dapat dilakukan dengan selamat. Setiap lapisan masyarakat haruslah bekerjasama dalam mengamalkan gaya hidup sihat ini demi kebaikan bersama. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Semoga dengan mengamalkan aktiviti riadah, masyarakat Malaysia dapat mencapai kesejahteraan hidup yang hakiki.
618 words