Bahasa MelayuBudayaEkonomiMasyarakat
Kepentingan Sektor Industri Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara
Sektor pelancongan merupakan antara sektor yang terpenting dalam pembangunan dan ekonomi sesebuah negara. Sektor ini juga dikategorikan sebagai industri perkhidmatan utama yang mampu menarik pelancong asing dan domestik untuk berkunjung ke sesebuah negara. Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan kepelbagaian kaum. Faktor-faktor ini telah menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Saban tahun, jutaan pelancong dari seluruh dunia akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati keindahan dan keunikan yang terdapat di negara ini. Hal ini secara tidak langsung telah merancakkan sektor pelancongan di Malaysia dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat dan negara. Persoalannya, apakah kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakyat dan negara?
Antara kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara ialah ia dapat meningkatkan pendapatan negara. Hal ini demikian kerana apabila pelancong asing berkunjung ke Malaysia, mereka akan berbelanja dan menggunakan perkhidmatan yang terdapat di negara ini. Sebagai contoh, pelancong asing akan menukar mata wang asing kepada Ringgit Malaysia untuk berbelanja dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan pendapatan negara. Selain itu, pelancong asing juga akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan makanan yang terdapat di negara ini. Perkara ini juga akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara melalui cukai yang dikenakan. Tuntasnya, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang penting dalam meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.
Selain itu, sektor pelancongan juga berupaya untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Hal ini kerana apabila banyak tempat-tempat pelancongan yang dibangunkan, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Misalnya, apabila sesebuah kawasan pantai itu dimajukan sebagai kawasan pelancongan, banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan seperti pengusaha chalet, pemandu bot, peniaga makanan dan cenderamata. Pembangunan kawasan pelancongan juga akan membuka peluang pekerjaan dalam bidang pembinaan dan penyelenggaraan. Oleh itu, sektor pelancongan amat penting dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan seterusnya dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.
Dalam pada itu, sektor pelancongan juga berperanan dalam merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar. Hal ini kerana kebanyakan tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong terletak di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, kawasan luar bandar seperti di kawasan pantai dan tanah tinggi yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan udara yang nyaman. Apabila tempat-tempat ini dikunjungi oleh ramai pelancong, ia secara tidak langsung akan menyebabkan kawasan tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih. Selain itu, kemudahan-kemudahan lain seperti hotel, restoran dan kedai cenderamata juga akan dibina bagi memberi kemudahan kepada pelancong yang berkunjung. Intihannya, sektor pelancongan dapat memacu pembangunan di kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Di samping itu, sektor pelancongan juga dapat mempromosikan budaya dan warisan masyarakat tempatan di persada dunia. Hal ini kerana apabila pelancong asing berkunjung ke Malaysia, mereka akan didedahkan dengan keunikan budaya dan warisan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sebagai contoh, pelancong asing dapat melihat keunikan seni bina rumah tradisional, tarian tradisional, permainan tradisional dan makanan tradisional masyarakat tempatan. Mereka juga berpeluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti kebudayaan dan merasai sendiri pengalaman sebagai masyarakat tempatan. Misalnya, pelancong asing boleh menyertai aktiviti menuai padi di Sekinchan, Selangor atau menyertai aktiviti menangkap ikan di sungai di perkampungan nelayan. Jelaslah bahawa sektor pelancongan mampu mempromosikan keunikan budaya dan warisan masyarakat tempatan kepada pelancong asing seterusnya menaikkan nama Malaysia di mata dunia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. Sektor ini juga mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan mempromosikan keunikan budaya dan warisan masyarakat Malaysia di mata dunia. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia perlu merangka pelan strategik yang lebih efektif dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan di negara ini. Pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu turut serta dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia kepada pelancong asing. Rakyat Malaysia juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelestarian alam semula jadi dan keunikan budaya di negara ini terus terpelihara agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jika kita sendiri tidak menjaga dan mempromosikan keunikan yang terdapat di negara kita, siapakah lagi yang akan berbuat demikian? Oleh itu, marilah kita bersama-sama memajukan sektor pelancongan di Malaysia agar negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
693 words