Bahasa MelayuKesihatanMasyarakatEkonomi

Kesan Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan

Makanan segera merupakan makanan yang boleh disediakan dan dihidangkan dengan cepat kepada pelanggan. Lazimnya, makanan segera ini boleh didapati di restoran-restoran makanan segera yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di negara kita. Kebiasaannya, restoran makanan segera ini akan menjalankan perkhidmatan mereka selama 24 jam dan mensasarkan golongan pekerja dan juga belia sebagai pelanggan mereka. Terdapat pelbagai jenama makanan segera yang terkenal di Malaysia seperti McDonald’s, Kentucky Fried Chicken (KFC), Burger King dan sebagainya. Jenama-jenama ini begitu sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia dek kerana keenakan makanan segera yang mereka tawarkan. Walaupun begitu, pengambilan makanan segera secara berlebihan akan mendatangkan pelbagai kesan yang buruk kepada kesihatan diri kita. Persoalannya, apakah kesan-kesan yang akan dihadapi sekiranya kita mengambil makanan segera secara kerap dan berlebihan? Kesan utama yang akan kita hadapi jika mengambil makanan segera secara berlebihan adalah terdedah kepada risiko penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi. Umum mengetahui bahawa makanan segera mempunyai kandungan gula, garam dan lemak yang sangat tinggi. Kandungan bahan-bahan ini jika diambil secara berlebihan akan menyebabkan kita menghidap penyakit kronik. Misalnya, hidangan set nasi ayam yang mengandungi ayam goreng, nasi, dan air berkarbonat. Jika kita mengambil hidangan ini secara kerap, kita akan terdedah kepada penyakit seperti kencing manis dan obesiti. Hal ini kerana kandungan gula yang tinggi di dalam air berkarbonat dan kandungan karbohidrat yang tinggi dalam nasi putih serta ayam goreng. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019, seorang daripada lima orang dewasa menghidap penyakit kencing manis dan seorang daripada dua orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia gemar mengambil makanan yang tidak sihat secara berlebihan dan tidak terkawal. Selain itu, pengambilan makanan segera secara kerap dan tidak terkawal akan menjejaskan sistem penghadaman kita. Hal ini demikian kerana makanan segera ini tidak mempunyai kandungan serat yang mencukupi. Serat amat penting dalam sistem penghadaman manusia untuk melancarkan proses perkumuhan. Kekurangan serat akan menyebabkan kita mengalami masalah sembelit dan buasir. Kita juga akan berasa tidak selesa dan kurang bertenaga dalam menjalani kehidupan seharian. Tambahan pula, sistem penghadaman yang tidak sihat akan mengganggu penyerapan nutrien dan zat yang diperlukan oleh badan kita. Sistem badan yang tidak sihat akan mengakibatkan kita terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan menjejaskan kualiti kehidupan kita. Oleh itu, pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan adalah tidak baik untuk sistem penghadaman kita. Seterusnya, pengambilan makanan segera secara kerap akan menyebabkan ketagihan. Hal ini kerana, makanan segera mengandungi bahan penambah perisa seperti monosodium glutamate (MSG) yang membuatkan kita berasa mahu untuk makan lagi. Makanan segera juga direka untuk merangsang pusat ganjaran di dalam otak kita dengan melepaskan dopamine dalam jumlah yang banyak. Dopamine ialah neurotransmitter di dalam otak yang memainkan peranan penting dalam mengawal perasaan ganjaran dan keseronokan. Hal ini mengakibatkan ketagihan dalam pengambilan makanan segera. Oleh itu, pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan akan mengakibatkan ketagihan dan kita akan berasa sukar untuk berhenti mengambil makanan segera. Di samping itu, pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan akan menyebabkan kita boros berbelanja. Hal ini demikian kerana harga makanan segera adalah mahal jika dibandingkan dengan makanan yang dimasak sendiri di rumah. Sebagai contoh, hidangan set nasi ayam di restoran makanan segera berharga RM15.90 tetapi, dengan wang sebanyak itu, kita boleh membeli bahan mentah seperti ayam, beras dan sayur-sayuran untuk dimasak sendiri dan boleh dimakan oleh lima orang. Walaupun penyediaan makanan sendiri memerlukan masa dan tenaga, ia lebih menjimatkan dan berkhasiat. Oleh itu, pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan akan menyebabkan kita boros berbelanja dan membazirkan wang kita ke arah yang tidak berfaedah. Tuntasnya, pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan akan mendatangkan pelbagai kesan yang buruk kepada kita. Kita seharusnya mengurangkan dan mengawal pengambilan makanan segera agar kesihatan kita lebih terjamin. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita hendaklah mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat seperti yang disarankan dalam piramid makanan. Makanan yang seimbang akan membekalkan kita tenaga yang secukupnya untuk melakukan aktiviti harian kita dengan cergas dan bertenaga. Selain itu, dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita juga dapat mengelakkan diri kita daripada menghidap penyakit kronik yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Jelas bahawa pengambilan makanan segera secara kerap dan berlebihan akan membawa pelbagai kesan negatif kepada kita. Oleh itu, kita perlulah mengurangkan pengambilan makanan segera dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
705 words