Bahasa MelayuAlam SekitarPendidikanMasyarakat
Langkah Melaksanakan Pembangunan Secara Lestari
Pembangunan lestari boleh ditakrifkan sebagai pembangunan yang dilaksanakan secara seimbang dan mengambil kira faktor-faktor lain seperti alam sekitar dan kesejahteraan hidup masyarakat secara amnya. Keseimbangan ini penting supaya pembangunan yang dikecapi tidak menjejaskan kualiti hidup masyarakat di samping memelihara flora dan fauna di muka bumi ini. Sejak akhir-akhir ini, kita sering melihat kejadian bencana alam yang berlaku di sekeliling kita. Bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir lumpur berlaku disebabkan oleh pembangunan yang tidak terancang dan mengakibatkan kemusnahan dan kehilangan nyawa. Oleh itu, langkah-langkah yang pragmatik perlu disusun atur dan dilaksanakan oleh pihak yang terlibat agar pembangunan secara lestari ini dapat direalisasikan.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan dalam mencapai objektif pembangunan lestari adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Walaupun Malaysia mempunyai akta dan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar, namun penguatkuasaannya boleh ditambah baik agar lebih tegas dan berkesan. Pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi. Sebagai contoh, jika terdapat pemaju perumahan yang ingin menjalankan projek pembangunan, mereka perlulah menyediakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lengkap dan menepati piawaian yang ditetapkan. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh atau banjir lumpur yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat. Selain itu, hukuman dan denda yang lebih berat harus dikenakan kepada pemaju yang didapati bersalah dan gagal mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Pemantauan yang lebih kerap juga perlu dijalankan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlakunya pencemaran atau kemusnahan alam sekitar seperti di kawasan perindustrian dan tapak pelupusan sampah.
Selain itu, kerajaan juga haruslah menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini bermaksud sumber tenaga yang bersifat mesra alam dan tidak mencemarkan alam sekitar. Antara contoh sumber tenaga yang boleh diperbaharui ialah tenaga solar, tenaga hidro dan tenaga angin. Sumber-sumber tenaga ini banyak didapati di negara kita seperti cahaya matahari dan kawasan tadahan hujan yang luas. Kerajaan boleh menggalakkan penggunaan tenaga solar dengan memberikan rebat kepada pengguna dan mengurangkan cukai terhadap produk-produk yang menggunakan tenaga solar. Sebagai contoh, pemasangan panel solar di kawasan perumahan dan komersial yang menggunakan tenaga matahari untuk menjana elektrik. Secara tidak langsung, penggunaan tenaga ini dapat mengurangkan pencemaran udara yang terhasil daripada penjanaan tenaga elektrik menggunakan bahan api fosil. Selain itu, stesen-stesen pengecasan kenderaan elektrik juga perlu dibina dengan lebih banyak agar menggalakkan penggunaan kenderaan tersebut. Penggunaan kenderaan elektrik juga merupakan salah satu langkah dalam melaksanakan pembangunan secara lestari kerana kenderaan ini tidak mencemarkan udara dan bunyi.
Pada masa yang sama, penerapan pendidikan alam sekitar dalam kalangan masyarakat juga merupakan salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan pembangunan secara lestari. Pendidikan ini boleh diterapkan di peringkat sekolah lagi agar generasi muda tahu akan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh menganjurkan program-program seperti gotong-royong dan kempen kitar semula di sekolah bagi memberi pendedahan kepada para pelajar. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh mempromosikan pendidikan alam sekitar ini melalui media massa dan media sosial. Usaha-usaha ini dilihat dapat menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan menjayakan pembangunan secara lestari di negara kita. Intihannya, setiap lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang kelestarian supaya pembangunan yang dirancang dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan tidak menjejaskan ekosistem di muka bumi ini.
Kesimpulannya, banyak langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan pembangunan secara lestari ini dijayakan dan dipraktikkan di negara kita. Pembangunan secara lestari ini bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia, malahan kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini kerana kelestarian berkait rapat dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Janganlah kita bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam melaksanakan pembangunan secara lestari. Sebaliknya, kita perlu berganding bahu dan bekerjasama agar kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat terpelihara. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak-pihak lain akan membuahkan hasil dan kelak negara kita mampu mencapai tahap negara maju yang mengutamakan kelestarian dalam setiap perancangan pembangunan.
661 words