Bahasa MelayuMasyarakatBudayaPerpaduan
Langkah Memupuk Semangat Kejiranan Dalam Kalangan Masyarakat
Semangat kejiranan merupakan antara elemen yang penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu perasaan yang wajar dipupuk oleh setiap anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Semangat kejiranan dapat merapatkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun begitu, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini semakin pudar ditelan arus pemodenan. Masyarakat kini lebih bersikap materialistik dan individualistik ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Oleh itu, langkah-langkah yang pragmatik dan efektif perlu diambil bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Antara langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat ialah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran tetangga dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dilakukan ialah membersihkan kawasan perumahan, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti gotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti gotong-royong mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, kita juga boleh memupuk semangat kejiranan dengan mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membantu kita mengenali jiran tetangga dengan lebih dekat. Melalui majlis rumah terbuka, kita berpeluang untuk beramah mesra dan bersembang dengan lebih dekat dengan jiran tetangga kita. Kita akan lebih mengenali adat resam dan budaya kaum lain melalui aktiviti rumah terbuka yang diadakan pada hari-hari perayaan di negara ini. Hal ini penting supaya kita dapat memahami adat resam kaum lain dan menghormati antara satu sama lain. Jelaslah bahawa penganjuran majlis rumah terbuka mampu memupuk semangat kejiranan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Seterusnya, semangat kejiranan juga dapat dipupuk melalui penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi. Aktiviti seperti ini dapat menarik minat masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contoh, aktiviti sukan yang boleh dianjurkan seperti bola sepak, bola jaring, bola tampar dan sebagainya. Melalui aktiviti sukan ini, penduduk setempat dapat berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih dekat dan mesra. Hal ini akan mengeratkan lagi hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Tegasnya, aktiviti sukan dan rekreasi yang dianjurkan mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, mewujudkan satu sistem komunikasi yang berkesan antara satu sama lain juga mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Sistem komunikasi yang berkesan ini merujuk kepada perbincangan yang bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui media sosial seperti Whatsapp, Telegram, Facebook dan sebagainya. Melalui perbincangan secara bersemuka, kita dapat beramah mesra dengan jiran tetangga dan bertanya khabar. Hal ini penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Kita juga dapat menyelesaikan masalah yang timbul secara bersama dengan berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Sudah terang lagi bersuluh bahawa mewujudkan sistem komunikasi yang berkesan mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Konklusinya, semangat kejiranan merupakan elemen penting dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk semangat kejiranan agar perpaduan dan keharmonian masyarakat dapat dikekalkan. Janganlah kita bersikap seperti kera sumbang yang tidak mempedulikan hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Kesedaran tentang kepentingan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat perlu disemai sejak kecil lagi dalam diri anak-anak agar ia kekal dalam jiwa generasi akan datang. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya semangat kejiranan ini dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda, sudah pasti ia akan terus subur dan mekar dalam masyarakat kita. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan ini akan membuahkan hasil dan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan harmoni. Akhir kata, ingatlah bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat demi kebaikan bersama.
624 words