Bahasa MelayuEkonomiTeknologiMasyarakat

Langkah Meningkatkan Pengeluaran Hasil Pertanian Negara

Sektor pertanian merupakan antara sektor ekonomi terawal yang diceburi oleh masyarakat di Malaysia. Sektor ini merangkumi bidang penternakan, perikanan dan tanaman. Namun begitu, sejak negara beralih kepada sektor perindustrian, sektor pertanian ini semakin tidak diberi tumpuan dan sering dipandang enteng. Hal ini menyebabkan banyak lambakan produk import di pasaran tempatan dan menyebabkan petani tempatan mengalami kerugian. Sehubungan dengan itu, pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negara. Hal ini bagi mengelakkan kebergantungan negara terhadap bekalan makanan import dan seterusnya menjamin kedaulatan makanan negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara adalah dengan mewartakan kawasan pertanian sebagai kawasan khas yang dijamin bekalan air dan bebas daripada ancaman pembangunan. Sesebuah kawasan pertanian itu seharusnya dikekalkan dan ditambah baik infrastrukturnya agar para petani dapat mengusahakan tanaman mereka dengan baik. Jika kawasan pertanian ini terdedah kepada ancaman pembangunan, maka hasil pertanian akan terjejas dan para petani akan mengalami kerugian. Sebagai contoh, di negeri Selangor, kawasan pertanian seperti di Sekinchan dan Tanjung Karang diwartakan sebagai kawasan jelapang padi agar ia terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan. Hasilnya, kawasan tersebut mampu mengeluarkan hasil padi yang banyak dan berkualiti. Usaha ini mampu menjamin kelangsungan sektor pertanian dalam negara dan secara tidak langsung meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara. Selain itu, pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan dengan pertanian haruslah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti hasil pertanian dan kuantiti pengeluaran. Sebagai contoh, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pertanian. MARDI telah berjaya menghasilkan baka padi baharu iaitu MR220-CL1 dan MR220-CL2 yang berupaya untuk meningkatkan hasil tuaian sehingga 40 peratus berbanding varieti lain. Oleh itu, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) wajar diteruskan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam meningkatkan hasil keluaran pertanian negara. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperluas penggunaan teknologi moden dalam aktiviti pertanian. Penggunaan teknologi moden seperti jentera dan dron dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh dan secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil pertanian. Sebagai contoh, pembajakan sawah padi menggunakan jentera dapat mempercepat proses penyediaan tapak semaian padi dan menjimatkan masa. Selain itu, dron juga boleh digunakan untuk menyembur racun serangga dan baja ke kawasan tanaman yang luas dalam masa yang singkat. Penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian ini terbukti dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil pengeluaran. Oleh itu, usaha untuk memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian wajar dilaksanakan segera. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian. Hal ini demikian kerana, majoriti petani dan pesawah di Malaysia terdiri daripada golongan yang telah berumur dan kurang berkemampuan untuk mengusahakan pertanian secara besar-besaran. Dengan penglibatan golongan muda, mereka berupaya untuk melakukan transformasi dalam bidang pertanian. Sebagai contoh, ramai golongan muda pada hari ini yang menceburi bidang pertanian menggunakan teknologi moden seperti sistem fertigasi dan hidroponik. Sistem ini bukan sahaja menjimatkan malah dapat mengurangkan risiko kerosakan tanaman. Golongan muda juga lebih berpengetahuan dalam bidang pemasaran dan mampu untuk memasarkan produk pertanian mereka secara terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah. Jelaslah bahawa penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian mampu memberi nafas baharu kepada sektor ini dan seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negara. Kesimpulannya, banyak usaha dan langkah yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negara. Pihak kerajaan juga perlu memberi insentif dan bantuan kepada pengusaha sektor pertanian seperti skim pembiayaan, khidmat nasihat dan latihan. Selain itu, pihak kerajaan perlu memberi jaminan bahawa sektor pertanian juga mampu memberi pulangan dan pendapatan yang lumayan setanding dengan sektor ekonomi yang lain. Kerjasama daripada semua pihak ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, mampu mengembalikan kegemilangan sektor pertanian di negara kita. Diharapkan agar sektor pertanian di negara kita kembali rancak dan menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan yang diimport dari negara asing.
645 words