Bahasa MelayuBudayaAlam SekitarMasyarakat
Mengapakah Malaysia Menjadi Pilihan Destinasi Pelancongan Terbaik
Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Asia Tenggara dan berada di atas garisan khatulistiwa. Negara ini juga telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur yang dipisahkan oleh Laut China Selatan. Umum mengetahui bahawa negara Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama yang secara langsung membentuk budaya yang unik lagi harmoni. Saban tahun, negara kita sering dikunjungi oleh pelancong asing yang ingin merasai suasana dan budaya yang terdapat di Malaysia. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan buat pelancong asing?
Antara faktor utama yang menjadi tarikan pelancong asing ke Malaysia adalah kerana keunikan budaya dan perayaan yang terdapat di negara ini. Untuk makluman semua, terdapat lebih 30 kumpulan etnik yang terdapat di Malaysia dan hidup secara bersama. Keadaan ini mewujudkan variasi dalam adat resam, makanan dan kesenian yang rencam dan berwarna-warni. Perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali, Hari Gawai dan Tahun Baru Cina disambut oleh semua kaum dan pelancong asing bebas untuk mendekati masyarakat kita dengan melawat rumah-rumah terbuka yang diadakan. Selain itu, Malaysia juga terkenal sebagai syurga makanan yang mana pelancong asing dapat menikmati pelbagai jenis makanan yang digemari oleh setiap etnik di negara ini. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, terdapat satu lokasi yang dipanggil sebagai Padang Kota yang dipenuhi dengan gerai-gerai makanan yang menjual juadah tempatan seperti nasi kandar, pasembur dan mee goreng mamak. Tuntasnya, Malaysia menjadi pilihan pelancong asing kerana keunikan budaya dan kepelbagaian makanan yang terdapat di sini.
Selain itu, negara kita juga kaya dengan keindahan alam semula jadi yang memukau mata setiap yang berkunjung ke lokasi-lokasi menarik di Malaysia. Keindahan flora dan fauna yang terdapat di negara ini menjadi tarikan kepada pelancong asing yang gemar menikmati kehijauan hutan dan suasana pantai yang mendamaikan. Sebagai contoh, Pulau Langkawi yang terletak di Kedah telah diiktiraf sebagai Geopark Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di Asia Tenggara. Hal ini membuktikan bahawa negara kita mempunyai khazanah alam yang sangat bernilai dan perlu dijaga keasliannya. Tambahan pula, pulau-pulau di Malaysia seperti Pulau Redang, Pulau Tioman dan Pulau Sipadan terkenal dengan keindahan batu karang dan hidupan laut yang menjadi pilihan penyelam skuba dari seluruh dunia. Izharnya, keindahan alam semula jadi yang terdapat di Malaysia merupakan faktor yang menarik pelancong asing untuk berkunjung ke negara kita.
Faktor lain yang menyebabkan Malaysia menjadi destinasi pelancongan adalah kerana kestabilan politik dan keharmonian masyarakat tempatan. Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, Malaysia mempunyai kestabilan politik yang baik dan tidak berlaku sebarang perbalahan antara kaum dan agama. Kestabilan politik dalam negara juga secara langsung menjamin keharmonian masyarakat. Jika masyarakat hidup dalam keadaan harmoni, sudah pasti para pelancong yang berkunjung ke Malaysia akan berasa selamat dan selesa. Tambahan pula, tahap keselamatan di negara ini juga meyakinkan di mana kadar jenayah di Malaysia adalah rendah jika dibandingkan dengan negara lain. Kehadiran pelancong asing ke negara ini turut diiringi dengan pematuhan undang-undang dan peraturan negara yang sedia ada. Justeru, keselamatan dan keharmonian yang dikecapi Malaysia menjadi antara penyebab utama negara ini terus dikunjungi pelancong asing.
Dalam pada itu, Malaysia juga terkenal sebagai negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap dan bertaraf dunia. Antara kemudahan infrastruktur yang terdapat di negara kita adalah seperti jalan raya, lapangan terbang dan pusat beli-belah. Untuk makluman semua, Malaysia mempunyai jaringan lebuh raya yang lengkap dan menghubungkan seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia. Hal ini memudahkan pelancong asing untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Selain itu, kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan antara hab penerbangan utama di rantau Asia Tenggara. Lapangan terbang ini menghubungkan pelancong dari seluruh dunia ke Malaysia dan juga negara-negara lain. Pelancong asing yang gemar membeli-belah juga berpeluang untuk mengunjungi pusat beli-belah terkenal yang terdapat di seluruh negara ini seperti Pavilion, KLCC dan Mid Valley. Konklusinya, kemudahan infrastruktur yang terdapat di Malaysia memudahkan para pelancong untuk berkunjung ke sini dan menikmati percutian mereka dengan selesa.
Secara tuntas, Malaysia merupakan destinasi pelancongan yang unggul dan mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Kelebihan yang dimiliki dari segi keunikan budaya, kepelbagaian makanan, keindahan alam semula jadi, keharmonian masyarakat dan kemudahan infrastruktur menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong asing. Pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia seharusnya mempergiatkan promosi dan membina lebih banyak lokasi pelancongan yang baharu agar dapat menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Kehadiran pelancong asing ini juga dapat membantu ekonomi negara berkembang dan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan. Semoga Malaysia akan terus menjadi destinasi pelancongan yang terkemuka dan dikunjungi oleh pelancong dari seantero dunia. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jika pelancong asing tidak mengenali Malaysia, sudah pasti mereka tidak akan berkunjung ke negara yang indah permai ini.
777 words