Bahasa MelayuTeknologiSainsKesihatan
Pentingnya Sains dan Teknologi Kepada Kehidupan Seharian Manusia
Sedasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, kemajuan sains dan teknologi telah banyak mengubah corak kehidupan manusia sejagat. Jika dahulu kita sukar untuk mencari maklumat dan berkomunikasi dengan masyarakat yang duduk di luar negara namun kini semuanya di hujung jari sahaja. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, sains ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan yang teratur dan boleh dibuktikan kebenarannya manakala teknologi adalah aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis di dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain. Ringkasnya, sains dan teknologi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita dan tidak dapat dipisahkan lagi. Terdapat pelbagai kepentingan sains dan teknologi yang dapat kita nikmati dan manfaatkan dalam urusan kehidupan seharian kita.
Antara kepentingan sains dan teknologi kepada manusia adalah memudahkan sistem perhubungan manusia sejagat. Sebelum terciptanya telefon pintar dan komputer, kita hanya berhubung menggunakan surat dan melawat seseorang di tempat mereka. Namun begitu, kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah melahirkan pelbagai gajet dan medium perhubungan yang canggih dan pantas. Misalnya, penciptaan telefon pintar telah mengubah cara kita berinteraksi yang hanya menggunakan hujung jari dan kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja tidak kira di mana jua mereka berada. Kita boleh menghantar mesej, membuat panggilan telefon dan juga panggilan video. Aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar juga berperanan untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia dalam membentuk komuniti yang berkongsi minat dan pendapat yang sama. Intihannya, sains dan teknologi amat penting dalam kehidupan manusia hari ini khususnya dalam sistem perhubungan.
Selain itu, sains dan teknologi juga penting dalam urusan seharian manusia kerana ia berupaya untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masyarakat. Dengan kemajuan dalam bidang perubatan dan kesihatan, pelbagai jenis penyakit dapat diubati dengan efektif. Kadar kematian akibat sesuatu wabak penyakit dapat dikurangkan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Tamsilnya, sebelum terciptanya mesin dialisis, pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang tidak dapat meneruskan kehidupan mereka kerana ketiadaan kaedah rawatan pada waktu itu. Namun begitu, berkat kemajuan sains dan teknologi, terciptanya mesin tersebut dan ia berupaya untuk membantu memanjangkan hayat pesakit yang menghidap penyakit tersebut. Selain itu, peluang pekerjaan juga terbuka dengan luas dan mampu meningkatkan taraf ekonomi sesebuah negara. Jelaslah bahawa sains dan teknologi banyak membantu manusia dalam urusan seharian terutamanya dari aspek kesihatan dan ekonomi.
Di samping itu, kemajuan dalam bidang sains dan teknologi juga membantu dalam sistem pengangkutan manusia dan barangan. Dahulu, manusia menggunakan haiwan dan berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun, kini kita boleh bergerak dengan pantas dan selesa dengan adanya kenderaan seperti kereta, kapal terbang dan kereta api. Bukan itu sahaja, barangan juga dapat dieksport dan import dengan mudah antara negara. Kemajuan pengangkutan juga telah membuka ruang kepada manusia untuk meneroka ke seluruh pelusuk dunia yang dahulunya mustahil untuk dilakukan. Sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang ekonomi terbesar di dunia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan baik kemajuan sains dan teknologi. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengalaman. Pendek kata, sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan manusia dan barangan agar lebih cekap dan efisien.
Dalam pada itu, kemajuan dalam bidang sains dan teknologi juga menyumbang kepada pembangunan dan pemodenan dalam sesebuah negara. Kewujudan bangunan-bangunan yang tinggi dan mempunyai seni bina yang unik hasil daripada kecanggihan teknologi yang dibina mampu menjadi mercu tanda dan kemegahan sesebuah negara. Misalnya, di Malaysia, kita berbangga dengan kewujudan Menara Berkembar Petronas yang merupakan antara bangunan tertinggi di dunia dan pernah memegang takhta sebagai bangunan yang paling tinggi di dunia. Kewujudan bangunan-bangunan pencakar langit ini akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di dalam negara kita dan seterusnya menaikkan imej negara di mata dunia. Tuntasnya, sains dan teknologi dapat membantu sesebuah negara untuk membangun dengan pesat seiring dengan peredaran zaman.
Kesimpulannya, banyak kepentingan yang telah diutarakan berkaitan sains dan teknologi dalam membantu kehidupan manusia. Kedua-dua elemen ini sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia dan akan terus berkembang seiring dengan peredaran masa. Kemajuan sains dan teknologi bukan sahaja membantu dari segi material malah dari segi hubungan sesama manusia. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang dahulunya sukar dan memerlukan tenaga yang banyak kini dipermudahkan dengan adanya jentera-jentera berat. Intihannya, kemajuan sains dan teknologi mampu mengeratkan hubungan sesama manusia. Oleh itu, hargailah kemajuan sains dan teknologi dengan menggunakannya ke arah kebaikan dan bukan ke arah kemusnahan. Hal ini persis dengan mutiara kata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Semoga masyarakat dunia terus maju ke hadapan dan saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan sejagat.
736 words