Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatPerpaduan
Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Sikap Saling Hormat Menghormati
Amalan hormat-menghormati merupakan antara nilai murni yang boleh dipupuk dalam diri setiap individu. Sikap saling menghormati ini membawa maksud kita menghargai dan memuliakan seseorang dengan memberi layanan yang bersopan kepadanya. Sikap ini juga dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Namun begitu, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati ini semakin luntur dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja. Hal ini berpunca daripada pelbagai faktor seperti pengaruh media sosial dan rakan sebaya. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan anak-anak?
Antara peranan ibu bapa dalam memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan anak-anak ialah dengan menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa merupakan suri teladan yang paling dekat dengan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang sesama pasangan dan juga terhadap anak-anak. Apabila anak-anak melihat keharmonian dan kasih sayang dalam keluarga, mereka akan membesar menjadi individu yang saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain. Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan sikap menghormati jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Misalnya, ibu bapa boleh bertegur sapa dan bertanya khabar dengan jiran tetangga. Ibu bapa juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di kawasan perumahan mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan mencontohi sikap baik ibu bapa mereka dan mengamalkan sikap saling menghormati dalam kehidupan seharian. Intihannya, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak agar sikap saling menghormati dapat dipupuk dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.
Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk menerapkan didikan agama dan moral yang kukuh dalam diri anak-anak. Hal ini kerana agama merupakan pegangan hidup setiap insan dan menjadi panduan untuk menjalani kehidupan seharian. Setiap agama di dunia ini mengajar umatnya untuk saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan warna kulit. Sebagai contoh, dalam agama Islam, ibu bapa digalakkan untuk mendidik anak-anak tentang kepentingan menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda. Ibu bapa boleh menerapkan didikan agama dalam kehidupan seharian anak-anak seperti mengajar mereka untuk menunaikan solat, membaca al-Quran dan berdoa. Sekiranya didikan agama dan moral ini dapat diterapkan dengan sempurna dalam diri anak-anak, sudah pasti mereka akan membesar menjadi individu yang berakhlak mulia dan sentiasa menghormati orang lain. Jelaslah bahawa didikan agama dan moral yang kukuh dapat membantu anak-anak untuk mengamalkan sikap saling menghormati dalam kehidupan seharian.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu memantau tingkah laku dan pergaulan anak-anak agar tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif. Hal ini kerana anak-anak yang sedang membesar mudah terpengaruh dengan persekitaran terutamanya rakan sebaya. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil tahu aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak dan mengenali rakan-rakan mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka bergaul dengan rakan sebaya yang tidak baik tingkah lakunya, ibu bapa perlu segera menasihati anak-anak agar tidak terpengaruh dengan rakan sebaya tersebut. Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau penggunaan gajet dan media sosial anak-anak agar mereka tidak terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai dengan umur mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadkan masa penggunaan gajet dan memasang perisian kawalan ibu bapa pada peranti yang digunakan oleh anak-anak. Dengan ini, anak-anak dapat dilindungi daripada melayari laman sesawang yang tidak bermoral dan berunsur negatif. Intihannya, ibu bapa perlu sentiasa memantau tingkah laku dan pergaulan anak-anak agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif dan tidak bermoral.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak agar dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk sikap saling menghormati dalam diri anak-anak. Ibu bapa yang bekerja haruslah bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Walaupun sibuk bekerja, ibu bapa perlu memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk diluangkan bersama anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak beriadah pada hujung minggu atau membawa mereka bercuti pada musim cuti sekolah. Selain itu, ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk berbual dan berinteraksi dengan anak-anak tentang aktiviti harian mereka. Melalui interaksi yang berterusan ini, anak-anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Mereka juga akan belajar untuk menghormati dan mendengar nasihat ibu bapa. Jelaslah bahawa dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak, ibu bapa dapat memupuk sikap saling menghormati dalam diri anak-anak.
Konklusinya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan anak-anak. Sikap ini perlu dipupuk sejak kecil lagi agar menjadi amalan dan kebiasaan dalam diri anak-anak sehingga mereka dewasa. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa yang berjaya menerapkan sikap saling menghormati dalam diri anak-anak akan melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti. Generasi yang cemerlang ini akan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Selain itu, masyarakat yang harmoni dan bersatu padu juga akan dapat dibentuk sekiranya setiap individu mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memupuk amalan berbudi bahasa dan hormat-menghormati dalam diri anak-anak agar dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan oleh ibu bapa dan semua pihak ini akan membuahkan hasil dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara untuk membentuk masyarakat yang madani dan berbudi bahasa.
839 words