Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatBudaya

Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak Menjadi Insan Yang Berguna.

Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapalah yang bertanggungjawab dalam mencorakkan keperibadian dan sahsiah anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang telah meningkat dewasa sewajarnya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara. Namun begitu, terdapat segelintir anak-anak yang tidak membesar dengan baik dan acapkali melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral sehingga menconteng arang ke muka ibu bapa. Situasi ini berlaku kebiasaannya kerana ibu bapa kurang memainkan peranan dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengambil langkah yang proaktif dan pragmatik dalam memastikan anak-anak membesar menjadi insan yang berguna. Persoalannya, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna? Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana tingkah laku dan perbuatan ibu bapa akan diperhatikan dan menjadi ikutan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa yang sering membantu orang yang berada dalam kesusahan akan mewujudkan rasa simpati dalam diri anak-anak dan menyebabkan anak-anak terikut-ikut untuk melakukan perkara yang sama. Selain itu, ibu bapa yang rajin bekerja dan mencari rezeki yang halal akan mengajar anak-anak erti kesungguhan dan kegigihan dalam melakukan sesuatu perkara. Ibu bapa juga perlu menunjukkan budi pekerti yang baik agar anak-anak tahu cara untuk menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda daripada mereka. Intihannya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka dapat mencontohi dan mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan seharian. Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini kerana agama merupakan pegangan utama manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa pegangan agama yang teguh, seseorang itu akan mudah terpesong dan terjerumus ke lembah maksiat. Sebagai contoh, dalam agama Islam, ibu bapa digalakkan untuk mengajar anak-anak asas agama seperti solat, puasa dan zakat sejak kecil lagi. Sekiranya didikan agama diberikan dengan sempurna, anak-anak akan membesar menjadi insan yang berakhlak mulia dan taat akan perintah agama. Mereka juga akan tahu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk. Ibu bapa juga boleh menghantar anak-anak ke kelas agama seperti kelas mengaji al-Quran dan kelas fardu ain agar anak-anak mendapat didikan agama yang lebih menyeluruh. Tegasnya, didikan agama yang sempurna amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak yang unggul. Pada waktu yang sama, ibu bapa perlu memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak agar tidak terjerumus ke kancah yang tidak baik. Ibu bapa seharusnya mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengenali rakan-rakan yang berdamping dengan anak-anak mereka. Hal ini kerana, anak-anak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak baik terutamanya daripada rakan sebaya. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon pintar anak-anak agar mereka tidak terjebak dengan aktiviti perjudian dalam talian dan tidak melayari laman-laman sesawang yang berunsur lucah. Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan merokok. Hal ini bagi mengelakkan anak-anak terikut-ikut dengan tabiat yang buruk tersebut. Jelaslah bahawa ibu bapa perlu memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak supaya mereka membesar menjadi insan yang berguna dan tidak terlibat dengan gejala negatif. Seterusnya, ibu bapa hendaklah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak agar mereka dapat merasai kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa yang bekerja seharusnya membahagikan masa bekerja dan masa bersama anak-anak dengan sebaiknya. Hal ini kerana anak-anak yang sedang membesar amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Jika ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka di rumah, anak-anak akan berasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Kesannya, anak-anak akan memberontak dan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral. Ibu bapa boleh meluangkan masa bersama anak-anak dengan melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal pada hujung minggu dan membawa mereka bercuti ke destinasi-destinasi yang menarik. Intihannya, dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak, mereka akan berasa disayangi dan dihargai seterusnya mampu membentuk jati diri yang positif dalam diri mereka. Konklusinya, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara. Setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini diibaratkan seperti kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Sekiranya anak-anak dibesarkan dalam suasana yang positif dan harmoni, sudah pasti mereka akan membesar menjadi insan yang berguna. Namun begitu, jika anak-anak sering diabaikan dan tidak diberi perhatian yang secukupnya, tidak mustahil mereka akan terlibat dengan gejala sosial dan seterusnya menjadi sampah masyarakat. Semoga semua ibu bapa di luar sana sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Diharapkan agar generasi muda hari ini dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka dan seterusnya menjadi pemangkin dalam memacu negara ke arah kegemilangan. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak dengan baik juga akan dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat.
816 words