Bahasa MelayuKesihatanKebersihanMasyarakat
Perintah Kawalan Pergerakan Disiplinkan Rakyat Malaysia
Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Perintah ini dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia. Perintah ini telah dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. PKP merupakan satu norma baharu yang perlu diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan, banyak sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh masyarakat. Walaupun pada awalnya pelaksanaan PKP ini tidak diterima sepenuhnya oleh masyarakat, namun terdapat hikmah yang tersirat di sebalik pelaksanaannya. Antara hikmah yang dapat ditelusuri adalah pelaksanaan PKP ini sebenarnya mendisiplinkan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.
Pelaksanaan PKP telah mendisiplinkan rakyat Malaysia dari segi pematuhan arahan pihak berkuasa. Hal ini dapat kita lihat apabila sekatan jalan raya dilakukan di setiap daerah mahupun negeri, masyarakat akur dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sepanjang tempoh ini juga, masyarakat tidak dibenarkan untuk merentas negeri tanpa kebenaran yang sah dan mereka akur dengan arahan yang diberikan. Perkara ini secara tidak langsung mendidik masyarakat supaya berdisiplin dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan demi kebaikan bersama. Tuntasnya, masyarakat mula sedar akan kepentingan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa supaya wabak penyakit ini dapat dikawal daripada terus menular.
Selain itu, pelaksanaan PKP juga sebenarnya mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan diri. Sebelum penularan wabak ini, masyarakat kita kurang menitikberatkan tentang aspek kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan memakai penutup muka apabila berada di luar rumah. Walaupun pada awalnya agak sukar untuk membudayakan amalan ini, tetapi masyarakat mula sedar bahawa amalan sebegini dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan wabak penyakit. Buktinya, kini kita dapat lihat majoriti rakyat Malaysia akan memakai penutup muka apabila berada di luar rumah dan mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman yang disediakan di setiap premis perniagaan. Amalan ini juga seiring dengan tuntutan agama yang mementingkan kebersihan diri dan persekitaran. Jelaslah bahawa penjagaan kebersihan diri merupakan salah satu amalan yang diterapkan oleh kerajaan bagi mendisiplinkan masyarakat.
Seterusnya, arahan bekerja dari rumah yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP juga banyak mendisiplinkan rakyat Malaysia terutamanya golongan pekerja. Sebelum ini, ramai pekerja yang tidak menghargai masa dan tidak berdisiplin dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikan. Namun begitu, apabila mereka diarahkan untuk bekerja dari rumah, mereka perlu menyiapkan tugasan mengikut tempoh masa yang ditetapkan dan perlu melaporkan tugasan mereka kepada ketua jabatan masing-masing. Hal ini secara tidak langsung mendidik mereka untuk berdisiplin dan menepati masa. Para pekerja juga perlu bersiap sedia untuk menghadiri mesyuarat secara maya pada bila-bila masa sahaja. Kebiasaannya, mesyuarat dalam talian akan menggunakan aplikasi seperti Google Meet, Skype dan Zoom. Tegasnya, amalan norma baharu yang diperkenalkan ini dapat mendisiplinkan para pekerja agar lebih produktif dan cekap dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.
Akhir sekali, pelaksanaan PKP juga telah mendisiplinkan rakyat Malaysia agar menghargai masa bersama keluarga. Sebelum ini, kita dapat lihat ramai ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa yang berkualiti bersama ahli keluarga. Apabila PKP dilaksanakan, setiap ahli keluarga perlu berada di rumah masing-masing dan tidak boleh keluar kecuali untuk membeli barangan keperluan atau bekerja dalam sektor yang dibenarkan sahaja. Dalam tempoh ini, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan dan setiap ahli keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam, memasak dan menonton televisyen. Hikmah di sebalik pelaksanaan PKP ini mampu mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di samping mengecapi kebahagiaan hidup berkeluarga.
Konklusinya, pelaksanaan PKP dalam tempoh masa yang lama ini sedikit sebanyak telah mendisiplinkan masyarakat di Malaysia. Terdapat pelbagai kekangan dan kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat pada awalnya, namun kerjasama dan kesabaran yang ditunjukkan membuahkan hasil yang positif. Pelaksanaan PKP ini juga telah memberi kesedaran kepada semua pihak dalam mengubah cara hidup seharian agar kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak penyakit ini daripada terus meragut nyawa. Semoga usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas wabak penyakit dan masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, marilah kita mengamalkan disiplin dalam kehidupan seharian supaya kelak kita mampu menjadi masyarakat yang maju dan berdaya saing.
700 words