Bahasa MelayuAlam SekitarKebersihanMasyarakat

Punca Berlakunya Pencemaran Ke Atas Sungai Air

Sungai merupakan antara sumber air yang sangat penting kepada manusia dan juga hidupan lain di muka bumi ini. Sungai membekalkan sumber air untuk kegunaan harian seperti air minuman, kegunaan industri dan juga untuk aktiviti pertanian. Sejak zaman dahulu lagi, sungai telah menjadi nadi kepada kehidupan manusia dan juga tamadun. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas apabila tamadun-tamadun awal yang terbentuk di dunia ini terletak berhampiran dengan sungai. Sebagai contoh, tamadun Mesir Purba yang terbentuk di Lembah Sungai Nil dan tamadun Indus yang terbentuk di Lembah Sungai Indus. Namun begitu, pada zaman ini, sungai semakin tercemar dan mengancam kehidupan manusia dan hidupan lain. Pencemaran sungai boleh ditakrifkan sebagai perubahan yang berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberi kesan terhadap penggunaan air. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai sama ada daripada aktiviti manusia itu sendiri ataupun daripada faktor semula jadi. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran ke atas sungai kita? Antara punca berlakunya pencemaran ke atas sungai adalah disebabkan oleh pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang. Hal ini sering berlaku di negara kita dan ia berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha kilang yang ingin mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan pembuangan sisa toksik tersebut kepada alam sekitar. Sisa-sisa toksik yang tidak dirawat dan disalurkan ke dalam sungai menyebabkan sungai tercemar dan hidupan akuatik mati. Sebagai contoh, pada tahun 2019, negara kita dikejutkan dengan insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menyebabkan ramai penduduk di sekitar kawasan tersebut mengalami sesak nafas dan muntah-muntah. Pihak berkuasa juga telah mengarahkan sekolah-sekolah dan premis-premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut ditutup bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jelaslah bahawa pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang merupakan antara punca utama yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai di negara kita. Selain itu, antara punca lain yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai ialah aktiviti pertanian yang tidak terkawal. Penggunaan baja kimia dan racun serangga yang berleluasa dalam kalangan petani akan menyebabkan sisa-sisa kimia tersebut mengalir ke dalam sungai apabila hujan. Hal ini akan menyebabkan air sungai menjadi keruh, berkeladak dan mengandungi bahan kimia yang tinggi. Penggunaan baja organik merupakan salah satu cara yang boleh digunakan oleh para petani untuk mengelakkan pencemaran sungai berlaku. Walau bagaimanapun, kesedaran dalam kalangan petani di Malaysia masih rendah dan mereka lebih gemar menggunakan baja kimia yang secara tidak langsung mencemarkan sungai dan alam sekitar. Intihannya, aktiviti pertanian yang tidak terkawal merupakan antara punca berlakunya pencemaran sungai. Di samping itu, sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai juga menjadi punca kepada berlakunya pencemaran. Masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai sering menjadikan sungai sebagai tempat untuk membuang sampah-sarap dan sisa domestik. Sebagai contoh, masyarakat yang tinggal di kawasan setinggan dan rumah-rumah haram di tepi sungai akan membuang sisa-sisa buangan seperti plastik, sisa makanan dan perabot yang tidak digunakan lagi ke dalam sungai. Hal ini menyebabkan sungai menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Selain itu, ada juga sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan menyalurkan sisa kumbahan ke dalam sungai. Kesannya, air sungai akan berbau busuk, tercemar dan tidak selamat untuk digunakan. Tegasnya, sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sungai menjadi punca utama berlakunya pencemaran sungai. Pada masa yang sama, pembalakan yang tidak terancang juga menyumbang kepada berlakunya pencemaran sungai. Apabila aktiviti pembalakan dijalankan, sisa-sisa kayu dan tanah yang terhakis akan memasuki sistem saliran dan seterusnya mengalir ke dalam sungai. Hal ini menyebabkan air sungai menjadi keruh dan berkeladak. Selain itu, aktiviti pembalakan juga menyebabkan hakisan tanah berlaku dan runtuhan tanah ini akan masuk ke dalam sungai dan mencemarkan sungai tersebut. Kesan daripada aktiviti pembalakan yang tidak terancang juga akan menyebabkan berlakunya banjir lumpur yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa manusia. Intihannya, aktiviti pembalakan yang tidak terancang dan tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Kesimpulannya, banyak punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai di negara kita. Pencemaran sungai ini jika tidak diatasi dan dibendung akan memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar dan kehidupan manusia. Semua pihak haruslah berganding bahu dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu pencemaran sungai ini. Pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu memantau dan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas agar pencemaran sungai dapat dikurangkan. Selain itu, kempen-kempen kesedaran juga perlu dijalankan dengan lebih kerap agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga sungai dan alam sekitar. Pihak sekolah juga boleh mendidik murid-murid tentang kepentingan menjaga sungai dan alam sekitar melalui subjek Geografi dan Sains. Sekiranya usaha-usaha ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, sudah pasti isu pencemaran sungai di negara kita dapat diatasi. Semoga sungai-sungai di negara kita akan terus terpelihara dan dapat membekalkan sumber air yang bersih dan selamat kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi ini. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjaga dan memelihara sungai kita demi kesejahteraan bersama.
812 words