Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatKeselamatan
Punca Dan Cara Mengatasi Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Dasawarsa ini, isu berkaitan gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi. Saban hari, kita dapat menyaksikan kes-kes buli yang dilaporkan di dada-dada akhbar dan di media sosial. Buli boleh didefinisikan sebagai perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan seseorang. Perbuatan buli ini merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan boleh memberi kesan negatif kepada mangsa. Persoalannya, apakah yang mendorong kepada perbuatan buli dalam kalangan pelajar sekolah? Apakah pula langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung dan mengatasi masalah ini?
Antara punca yang mendorong kepada perbuatan buli dalam kalangan pelajar ialah pengaruh rakan sebaya. Hal ini demikian kerana pelajar sekolah kebiasaannya mudah terpengaruh dengan perbuatan rakan-rakan di sekeliling mereka. Rakan sebaya yang bersikap negatif dan tidak bertanggungjawab akan mempengaruhi rakan-rakan yang lain untuk melakukan perkara yang tidak baik seperti membuli pelajar lain. Mereka beranggapan bahawa membuli merupakan perbuatan yang menyeronokkan dan tidak memikirkan kesannya kepada mangsa. Selain itu, pembuli juga ingin mendapatkan perhatian dan pengiktirafan daripada rakan-rakan yang lain. Mereka beranggapan bahawa dengan membuli, mereka akan dihormati dan ditakuti oleh pelajar lain. Jelaslah bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan antara punca utama berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Selain itu, kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa juga menyumbang kepada berlakunya gejala buli. Ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan mengabaikan tanggungjawab mereka di rumah menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang bermasalah juga berisiko untuk terlibat dengan gejala buli. Sebagai contoh, ibu bapa yang sering bergaduh dan tidak sehaluan akan menyebabkan anak-anak berasa tertekan dan menjadikan aktiviti membuli sebagai medium untuk melepaskan tekanan yang dihadapi oleh mereka. Tambahan pula, anak-anak yang kurang mendapat didikan agama dan moral juga tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Mereka juga tidak didedahkan dengan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, tolong-menolong dan hormat-menghormati. Tegasnya, ibu bapa yang kurang memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak menyebabkan mereka terlibat dengan gejala buli di sekolah.
Pada masa yang sama, pengaruh media massa juga merupakan antara punca yang menyebabkan gejala buli ini berlaku. Media massa seperti televisyen, radio dan media sosial banyak memaparkan aksi-aksi keganasan dan perbuatan buli yang boleh mempengaruhi minda pelajar sekolah. Sebagai contoh, filem-filem yang memaparkan aksi-aksi gengsterisme dan buli di sekolah secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk meniru aksi tersebut. Selain itu, media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter juga sering menjadi medium untuk membuli terutamanya buli siber. Pelajar-pelajar yang menggunakan media sosial akan memuat naik komen, gambar dan video yang boleh mengaibkan dan menjatuhkan maruah pelajar lain. Perkara ini akan menyebabkan mangsa buli berasa tertekan dan mengalami masalah mental. Jelaslah bahawa pengaruh media massa merupakan antara faktor berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Dalam pada itu, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting dalam membendung dan menangani isu buli ini daripada terus berleluasa. Pihak sekolah perlu menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah dengan lebih tegas agar pelajar takut untuk melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengenakan hukuman seperti buang sekolah kepada pelajar yang didapati bersalah membuli pelajar lain. Selain itu, pihak sekolah juga perlu mewujudkan pasukan pemantau yang terdiri daripada guru-guru dan pengawas sekolah untuk memantau dan melaporkan sebarang aktiviti buli yang berlaku di dalam kawasan sekolah. Hal ini penting bagi memastikan persekitaran sekolah selamat dan bebas daripada sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan keharmonian warga sekolah. Intihannya, pihak sekolah perlu mengambil tindakan yang tegas dan berkesan dalam menangani isu buli ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha membendung gejala buli dalam kalangan pelajar. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni dan amalan-amalan yang baik sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang dididik dengan nilai-nilai murni akan membesar menjadi insan yang berakhlak mulia dan menghormati orang lain. Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak agar tidak bergaul dengan rakan sebaya yang bermasalah dan berisiko untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. Ibu bapa juga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak agar mereka dapat merasai kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk berkelah pada hujung minggu atau membawa mereka menziarahi datuk dan nenek di kampung. Tegasnya, ibu bapa merupakan suri teladan yang terbaik kepada anak-anak dan mereka memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian anak-anak agar menjadi insan yang berguna.
Kesimpulannya, gejala buli yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah merupakan isu yang serius dan perlu ditangani dengan segera. Semua pihak termasuklah pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat dan pihak kerajaan perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam usaha untuk membanteras gejala buli ini. Pihak kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar dapat memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah yang terlibat dengan aktiviti buli. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menganjurkan kempen-kempen kesedaran di peringkat sekolah dan masyarakat bagi menyedarkan semua pihak tentang kesan buruk aktiviti buli kepada mangsa dan masyarakat. Sekiranya usaha-usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sudah pasti gejala buli dalam kalangan pelajar dapat diatasi dan seterusnya melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan berwawasan tinggi. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan ini juga mampu mengurangkan kadar jenayah di negara ini dan melahirkan masyarakat yang aman dan harmoni. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Marilah kita bersama-sama membanteras gejala buli agar dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
888 words