Bahasa MelayuMasyarakatKebersihanKeselamatan

Tanggungjawab Dan Kepentingan Menjaga Harta Benda Awam

Harta benda awam merujuk kepada kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kegunaan orang ramai. Antara contoh kemudahan awam yang disediakan termasuklah sekolah, hospital, taman rekreasi, dan pondok telefon. Kemudahan-kemudahan awam ini dibina dan disediakan oleh pihak kerajaan dengan menggunakan wang yang dibayar oleh rakyat dalam bentuk cukai. Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita sewajarnya menjaga kemudahan-kemudahan tersebut dengan sebaiknya seperti yang tertera di cogan kata, “Harta Benda Awam Milik Bersama”. Persoalannya, apakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat dalam menjaga harta benda awam? Apakah pula kepentingan menjaga harta benda awam ini? Antara peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh kita sebagai rakyat Malaysia adalah dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan kemudahan awam. Setiap kemudahan yang disediakan mempunyai peraturan-peraturan dan tatacara penggunaan yang perlu dipatuhi. Hal ini adalah untuk memastikan setiap pengguna dapat menggunakan kemudahan tersebut dengan selesa dan harmoni. Misalnya, setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti mematuhi had kelajuan, mematuhi lampu isyarat dan sebagainya. Jika semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, sudah pasti kemalangan jalan raya dapat dielakkan dan ia akan memudahkan perjalanan kita ke destinasi yang ingin dituju. Secara tidak langsung, kemudahan awam seperti jalan raya itu dapat digunakan dengan baik oleh semua pengguna dan berada dalam keadaan yang selamat. Izharnya, setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan kemudahan awam agar ia dapat memberi manfaat kepada semua orang. Selain itu, sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita seharusnya melaporkan sebarang kerosakan atau vandalisme yang berlaku kepada pihak yang berwajib. Vandalisme merupakan antara masalah yang sering dikaitkan dengan kemudahan awam di negara kita. Perbuatan yang tidak bermoral ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai malah merugikan pihak kerajaan yang perlu memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk membaik pulih kemudahan yang telah dirosakkan. Oleh hal yang demikian, kita sebagai pengguna yang bertanggungjawab perlulah melaporkan sebarang aktiviti vandalisme yang berlaku kepada pihak berkuasa. Sebagai contoh, jika kita terlihat papan tanda jalan raya yang telah dirosakkan dengan contengan, kita boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya. Dengan melaporkan kerosakan yang berlaku, tindakan yang sewajarnya dapat diambil bagi memastikan kemudahan awam tersebut dapat dibaik pulih dan digunakan semula oleh orang ramai. Tegasnya, melaporkan sebarang kerosakan dan vandalisme adalah salah satu inisiatif dan tanggungjawab yang boleh dilakukan oleh masyarakat dalam menjaga harta benda awam. Pada masa yang sama, kita juga hendaklah menggunakan kemudahan awam yang disediakan dengan berhemah. Kita sebagai pengguna haruslah menggunakan kemudahan awam dengan cermat dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan kemudahan tersebut. Kita perlu menggunakan kemudahan yang disediakan dengan cara yang betul dan sentiasa menjaga kebersihan kemudahan tersebut. Sebagai contoh, kita boleh membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan taman rekreasi dan tidak membuang sampah merata-rata. Selain itu, kita hendaklah menggunakan air dan elektrik secara berhemah dan tidak membazir. Sebagai contoh, kita boleh menutup suis lampu dan kipas di dalam kelas atau bilik kuliah sekiranya tidak digunakan. Dengan mempraktikkan amalan-amalan ini, kita dapat menggunakan kemudahan tersebut secara optimum dan mengelakkan sebarang pembaziran daripada berlaku. Intihannya, kita bertanggungjawab untuk menggunakan harta benda awam secara berhemah agar ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya. Menjaga kemudahan awam yang disediakan dengan baik juga dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Sekiranya kemudahan awam yang disediakan berada dalam keadaan yang baik dan selamat, maka pengguna tidak akan terdedah kepada sebarang risiko kemalangan atau kecederaan. Misalnya, jika taman permainan kanak-kanak yang disediakan mempunyai peralatan yang telah diselenggara dengan baik dan selamat untuk digunakan, kanak-kanak boleh bermain di taman permainan tersebut tanpa sebarang kebimbangan. Keselamatan mereka akan terjamin dan ibu bapa juga tidak akan berasa bimbang untuk membiarkan anak mereka bermain di taman permainan tersebut. Selain itu, jika kemudahan awam seperti pondok telefon dan perhentian bas berada dalam keadaan baik, ia akan memudahkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan tersebut tanpa sebarang masalah. Jelaslah bahawa dengan menjaga kemudahan awam yang disediakan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dapat dijamin. Konklusinya, banyak kepentingan yang dapat kita peroleh dengan menjaga kemudahan awam yang disediakan. Tanggungjawab untuk menjaga kemudahan awam ini bukanlah terletak di bahu pihak kerajaan semata-mata, malahan ia perlu dipikul bersama oleh setiap lapisan masyarakat. Janganlah kita menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dan berbangga dengan kemudahan awam yang disediakan di negara ini. Hal ini kerana tidak semua negara di dunia mampu untuk menyediakan kemudahan awam yang lengkap dan kondusif kepada rakyat mereka. Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat. Jika semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing, sudah pasti kemudahan awam di negara ini dapat digunakan dengan baik oleh semua orang. Semoga dengan wujudnya masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin, kemudahan awam di negara ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
789 words