Bahasa MelayuMasyarakatKeselamatanPerpaduan
Tanggungjawab Masyarakat Dalam Membanteras Jenayah Negara
Dalam mendepani arus globalisasi masa kini, pelbagai pembangunan dari segenap sudut telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan kerjasama pihak swasta. Namun begitu, pembangunan yang tidak diseimbangkan dengan pemeliharaan jati diri dan nilai murni masyarakat telah menyebabkan peningkatan kes-kes jenayah di negara kita. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab ini telah melakukan jenayah seperti ragut, pecah rumah, dan juga rogol yang menjadi polemik serta ancaman keselamatan masyarakat kita hari ini. Hal ini berpunca daripada kegagalan sistem kemasyarakatan yang menyebabkan sebilangan ahli masyarakat memilih untuk melakukan jenayah berbanding mencari rezeki dengan cara yang halal dan selamat. Oleh itu, masyarakat perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan jenayah di negara ini dapat dibanteras dan seterusnya mengembalikan keharmonian yang kita kecapi selama ini.
Antara peranan masyarakat dalam membanteras jenayah adalah dengan menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa. Hal ini demikian kerana masyarakat lebih dekat dengan isu jenayah yang berlaku di kawasan perumahan mahupun di tempat kerja masing-masing. Jika setiap ahli masyarakat memainkan peranan untuk melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan, sudah pasti usaha untuk membanteras jenayah akan menjadi lebih mudah. Pihak berkuasa pula boleh merangka pelan yang lebih berkesan dan mengkaji setiap laporan yang dibuat oleh masyarakat dalam mencari dalang di sebalik kejadian jenayah yang berlaku. Tuntasnya, masyarakat boleh melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan kepada pihak polis agar tindakan susulan dapat diambil dan seterusnya membendung jenayah tersebut daripada terus berlaku.
Selain itu, masyarakat juga bertanggungjawab untuk berganding bahu dengan pihak berkuasa menjalankan aktiviti pencegahan jenayah. Sebagai contoh, masyarakat boleh menubuhkan persatuan penduduk di kawasan perumahan masing-masing dan menjalankan rondaan secara berkala. Hal ini dapat mengelakkan kejadian pecah rumah yang sering berlaku apabila sesebuah kediaman itu dibiarkan kosong tanpa penghuni. Rondaan yang dilakukan secara berkala ini dapat menggerunkan penjenayah untuk memasuki kawasan perumahan tersebut. Aktiviti ini juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat di samping mengurangkan risiko kejadian jenayah. Jelaslah bahawa dengan kerjasama yang erat antara anggota masyarakat dengan pihak berkuasa, keselamatan di kawasan perumahan dapat dipertingkatkan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Di samping itu, masyarakat juga perlu bersatu padu dalam membanteras jenayah dan bukannya bersikap mementingkan diri sendiri. Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang bersikap acuh tak acuh dan tidak mahu mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sebagai contoh, jika berlaku pergaduhan di hadapan rumah atau di kawasan awam, mereka tidak akan menghulurkan bantuan untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Sebaliknya, mereka mungkin hanya berdiam diri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Sikap seperti ini hanya akan menggalakkan lagi jenayah daripada terus berlaku. Bayangkan jika ada ahli keluarga mereka yang menjadi mangsa jenayah, adakah masyarakat sekeliling akan membantu? Sudah pasti mereka mahukan bantuan dan ihsan daripada orang lain. Intihannya, sikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan agar jenayah dapat dibanteras dengan lebih efektif.
Pada masa yang sama, masyarakat juga bertanggungjawab untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan masing-masing. Keluarga merupakan tunjang dalam pembentukan keperibadian seseorang individu. Keluarga yang porak-peranda akan menyebabkan anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang serta perhatian yang secukupnya. Kesannya, anak-anak akan memberontak dan melakukan perkara yang tidak baik termasuklah terlibat dengan jenayah. Oleh itu, ibu bapa perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak mereka agar dapat membentuk keluarga yang harmoni. Selain itu, ajaran agama dan nilai-nilai murni juga perlu diterapkan dalam diri anak-anak supaya mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak bermoral. Tuntasnya, institusi kekeluargaan yang utuh mampu menjamin keharmonian masyarakat dan mengurangkan kadar jenayah dalam negara.
Kesimpulannya, banyak peranan dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh masyarakat dalam membanteras jenayah di negara ini. Pihak kerajaan juga harus memperkasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat gerun untuk melakukan jenayah. Sinergi antara masyarakat dan pihak berkuasa amat penting dalam menjamin keberkesanan usaha membanteras jenayah di negara ini. Jika usaha ini dijalankan dengan sambil lewa, sudah pasti ia tidak akan mendatangkan hasil dan masyarakat akan terus hidup dalam ketakutan. Saban hari, kita dapat menyaksikan pelbagai kes jenayah dilaporkan di media massa dan perkara ini membuktikan bahawa jenayah yang berlaku di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan. Semoga berkat usaha dan komitmen jitu daripada setiap ahli masyarakat, negara kita akan sifar jenayah dan masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan lebih aman dan sejahtera. Bak kata mutiara, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang menekankan kepentingan golongan muda untuk menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Jika jenayah tidak dibanteras, siapakah yang akan menerajui kepimpinan negara kelak? Fikir-fikirkanlah.
718 words