Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatBudaya
Usaha Menangani Gejala Vandalisme Dalam Kalangan Pelajar Atau Remaja
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri terutamanya golongan muda. Masyarakat seolah-olah seperti sudah lali dan langsung tidak mempedulikan masalah vandalisme yang semakin menular dalam kalangan pelajar atau remaja. Gejala vandalisme ini boleh didefinisikan sebagai vandalisme ditakrifkan sebagai tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Golongan pelajar yang masih berumur setahun jagung, darah setampuk pinang ini tidak dapat membezakan kesan baik dan kesan buruk vandalisme yang dilakukan oleh mereka. Oleh itu, budaya buruk ini dianggap remeh dan dipandang enteng sahaja. Hal ini kerana golongan remaja ini beranggapan bahawa melukis atau menconteng dinding bangunan dan merosakkan telefon awam merupakan satu kesalahan yang kecil dan tidak perlu diberi perhatian serius. Jika tidak ditangani dengan segera, perbuatan vandalisme akan menjadi duri dalam daging yang akan membarah dan mencetuskan penyakit sosial yang lebih dahsyat dalam kalangan masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlulah melakukan usaha menangani gejala vandalisme dalam kalangan pelajar atau remaja secara lebih tegas.
Usaha perdana yang boleh diambil bagi membendung gejala negatif ini adalah dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah dengan lebih tegas. Berdasarkan pemerhatian rambang di sekolah, didapati bahawa ramai pelajar yang suka menconteng dinding dan kemudahan di sekolah seperti meja dan kerusi. Perbuatan vandalisme ini berlaku kerana tiada pemantauan yang serius daripada pihak sekolah. Jika masalah ini tidak dibendung, masalah ini akan menular dan menjadi ikutan kepada pelajar-pelajar lain. Di samping itu, masalah ini dapat diatasi dengan menggerakkan peranan unit disiplin dan pengawas sekolah yang perlu membuat pemantauan secara berkala. Sekiranya pelajar didapati melakukan kesalahan vandalisme, pihak sekolah perlu mengenakan hukuman yang setimpal seperti denda atau pun dipanggil ibu bapa ke sekolah untuk membincangkan masalah yang dilakukan oleh anak mereka. Melalui perbincangan dengan ibu bapa, hukuman yang boleh dikenakan kepada anak mereka akan dipersetujui bersama. Natijahnya, pelajar akan berfikir dua kali sebelum melakukan vandalisme yang mengakibatkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga menyusahkan ibu bapa mereka.
Di samping itu, dalam usaha menangani vandalisme dalam kalangan remaja adalah dengan memberi didikan agama dan moral yang sempurna. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap agama di muka bumi ini menyeru agar penganutnya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti melakukan vandalisme. Oleh itu, ibu bapa yang merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak sewajarnya menerap dan mengasuh anak mereka dengan nilai-nilai keagamaan yang kuat supaya anak-anak tidak melakukan perkara yang menyalahi agama dan undang-undang. Guru-guru di sekolah juga perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Sebagai contoh, guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh menerapkan nasihat dan nilai-nilai murni agar perbuatan vandalisme ini boleh diatasi. Pihak sekolah juga boleh menjemput pegawai polis untuk menyampaikan ceramah dan pameran tentang kesan buruk vandalisme kepada masyarakat. Sekiranya usaha ini dapat direalisasikan, sudah pasti golongan pelajar dan remaja akan berasa takut untuk melakukan perbuatan vandalisme. Tegasnya, dengan didikan agama dan moral yang kuat mampu membentuk sahsiah yang unggul dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, pihak kerajaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu memainkan peranan dengan menyekat pengaruh media massa. Hal ini kerana media massa merupakan wahana yang paling dekat dan berpengaruh kepada masyarakat. Media massa merupakan medium yang menyalurkan pelbagai maklumat, berita dan memaparkan budaya-budaya luar sama ada budaya ketimuran dan budaya barat. Melalui media massa, masyarakat akan terpengaruh dengan budaya barat yang tidak sesuai diamalkan di negara ini. Sebagai contoh, budaya barat yang menunjukkan golongan remaja bebas melakukan apa-apa sahaja termasuklah melakukan vandalisme. Perbuatan ini ditegah sama sekali dalam budaya kita kerana merosakkan kemudahan awam dan mengganggu ketenteraman masyarakat. Sekiranya pihak kementerian tidak memandang serius perkara ini, tidak mustahil gejala vandalisme akan terus berleluasa dan menjadi kudis yang bernanah dan akhirnya boleh memudaratkan masyarakat dan negara. Jelaslah bahawa pihak kerajaan perlu memantau dan menyekat budaya barat yang merosakkan minda golongan remaja kita.
Pada waktu yang sama, kempen kesedaran dapat membantu membanteras gejala vandalisme ini. Kempen kesedaran merupakan satu langkah yang ampuh dan berkesan bagi menyedarkan masyarakat supaya menghargai kemudahan awam yang disediakan. Kempen-kempen kesedaran perlulah dijalankan secara berterusan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli belah, pasar-pasar dan stesen bas. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan melalui kempen kesedaran ialah pertandingan melukis poster, mewarna dan menulis esei tentang kesan-kesan vandalisme. Selain itu, pihak kerajaan boleh mengedarkan risalah dan poster kepada orang ramai di tempat-tempat yang strategik. Aktiviti-aktiviti ini perlu melibatkan semua lapisan masyarakat supaya dapat memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Ibu bapa pula perlu mendidik anak-anak agar tidak melakukan aktiviti vandalisme yang menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Melalui kempen kesedaran ini, diharapkan agar masyarakat akan bersama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam usaha membanteras gejala vandalisme dalam kalangan remaja. Sekiranya usaha ini berjaya, sudah pasti masyarakat akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Izharnya, usaha-usaha untuk menangani gejala vandalisme ini perlu diberi perhatian yang serius agar masalah ini tidak menjadi barah yang memudaratkan masyarakat dan negara. Janganlah kita bersikap evasif mahupun bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana masalah ini perlu ditangani secara bersama. Perbuatan vandalisme dalam kalangan remaja ini banyak mendatangkan kesan negatif berbanding kesan positif. Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita perlulah sedar akan kesan dan akibat buruk vandalisme bukan sahaja kepada individu malahan komuniti setempat. Jika masalah vandalisme ini dapat diatasi, sudah pasti keindahan dan imej negara akan dipandang tinggi. Usaha ini juga selari dengan matlamat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan harmoni. Oleh itu, semua anggota masyarakat di negara ini perlulah bersatu hati dalam usaha menangani gejala vandalisme yang semakin menular. Bak kata pepatah, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Semoga berkat komitmen jitu daripada semua pihak, gejala vandalisme akan lenyap daripada masyarakat kita. Kelak generasi akan datang mampu mengecapi nikmat kemajuan dan pembangunan negara yang lebih mapan.
974 words