Bahasa MelayuPendidikanMasyarakatBudaya

Usaha-Usaha Pembentukan Jati Diri Pelajar

Umum mengetahui bahawa jatuh bangun sesebuah negara itu bergantung kepada generasi akan datang yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara kelak. Golongan muda pada hari ini yang juga dikenali sebagai golongan remaja merupakan aset yang tidak ternilai dalam memacu negara ke arah kemajuan. Namun begitu, kemasukan budaya asing dan perkembangan teknologi yang tidak dikawal selia dengan baik telah melahirkan generasi yang tidak bermaya serta tidak mempunyai jati diri. Situasi ini boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk, hanya menanti masa untuk jatuh berderai. Kerisauan ini perlu diambil serius dengan mengatur usaha-usaha yang drastik dalam membentuk jati diri dalam kalangan golongan muda khususnya pelajar agar dapat menjadi individu yang boleh dibanggakan pada masa hadapan. Langkah perdana yang perlu diambil adalah kembali kepada ajaran agama masing-masing. Agama merupakan elemen yang mustahak dalam kehidupan setiap insan di muka bumi ini. Tanpa agama, manusia akan kehilangan arah dan tidak mempunyai pegangan dalam menjalani kehidupan. Tamsilnya, di Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Selain itu, agama-agama lain juga bebas untuk dianuti oleh masyarakat kita. Intihannya, setiap agama di dunia ini mengajar penganutnya ke arah kebaikan dan membentuk peribadi yang mulia. Dengan didikan agama yang sempurna pasti dapat membentuk jati diri yang unggul dalam kalangan pelajar. Ajaran agama yang kukuh akan menjamin seseorang individu itu tahu cara untuk membezakan perkara yang baik dan buruk. Selain itu, institusi persekolahan juga berperanan dalam membentuk jati diri pelajar. Antara usaha yang boleh dilaksanakan adalah mewajibkan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Pelajar pada hari ini lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan melayari internet dan bermain permainan video yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada mereka. Tabiat ini tidak sihat dan akan memudaratkan mereka kelak. Oleh itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan persatuan beruniform dapat mendisiplinkan diri mereka di samping mengisi masa terluang mereka dengan perkara yang berfaedah. Tambahan pula, aktiviti kokurikulum melatih murid untuk menjadi pemimpin dan secara tidak langsung membentuk jati diri mereka agar lebih bertanggungjawab dan berdikari. Penyertaan yang aktif akan membuahkan hasil bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah, lagikan tajam. Jelaslah bahawa penglibatan pelajar dalam aktiviti luar bilik darjah dapat membentuk jati diri mereka. Di samping itu, ibu bapa juga bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah anak-anak mereka. Pada zaman teknologi hari ini, ramai ibu bapa yang menggunakan gajet dan telefon pintar sebagai medium untuk memastikan anak mereka diam dan tidak mengganggu tugas atau kerja mereka. Kaedah ini salah dan tidak patut diamalkan kerana ia akan menjejaskan perkembangan anak-anak dari segi mental dan juga fizikal. Sementelahan pula, mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa agar dapat membesar menjadi individu yang boleh menyumbang kepada masyarakat dan juga negara. Perhatian dan didikan yang betul oleh ibu bapa juga berupaya untuk mengelakkan anak-anak mereka daripada terlibat dengan gejala sosial. Gejala sosial seperti merokok, melepak dan pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan remaja pada hari ini. Hal ini kerana mereka tidak dibimbing dengan baik dan tidak didedahkan kepada kesan buruk gejala tersebut. Tuntasnya, ibu bapa perlu meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka dan menjadi contoh teladan yang baik agar jati diri anak-anak mereka menjadi utuh dan menjauhi perkara yang tidak bermoral. Pada masa yang sama, pemerkasaan program-program belia oleh pihak kerajaan juga berupaya membentuk jati diri dalam kalangan golongan muda. Pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Belia dan Sukan perlu giat menjalankan program belia sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Usaha-usaha yang dilaksanakan ini akan memberi peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat kepimpinan mereka. Program seperti latihan industri, belia berkemahiran dan keusahawanan mampu memberi pendedahan awal kepada mereka tentang dunia luar dan realiti kehidupan. Peluang seperti ini haruslah direbuti oleh mereka agar tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Mereka yang berjaya dalam program yang dianjurkan kerajaan berpeluang untuk dihantar ke peringkat antarabangsa dan mengharumkan nama negara. Diharapkan program-program seperti ini memberi kesedaran dan motivasi kepada golongan belia dalam membentuk jati diri seterusnya berbakti kepada bangsa dan negara. Akhir kalam, banyak usaha yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam membentuk jati diri dalam kalangan golongan muda. Golongan remaja atau belia merupakan pemangkin serta pewaris kepimpinan negara yang akan mencorakkan masa hadapan negara sama ada maju atau mundur. Jika mereka masih tidak tahu untuk membezakan perkara baik dan buruk kelak negara yang aman dan makmur ini akan musnah dan hancur. Pihak kerajaan dan swasta haruslah berganding bahu mencari formula yang terbaik untuk membentuk belia yang mampu berfikir secara rasional dan bijak dalam membuat keputusan. Hal ini persis peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semoga negara kita dapat melahirkan golongan muda yang berwibawa dan berintegriti agar pembangunan nusa dan bangsa dapat dicapai dengan jayanya.
769 words