Bahasa MelayuEkonomiMasyarakatPendidikan
Usaha-Usaha Untuk Menjadi Usahawan Berjaya.
Dalam menempuh arus modenisasi dan globalisasi, setiap negara di dunia perlu bersaing antara satu sama lain demi mencapai kemajuan dari segenap sudut terutamanya ekonomi. Selain itu, kebergantungan kepada negara luar terutamanya dari segi sumber-sumber asas seperti makanan dan bahan api perlu dikurangkan supaya sesebuah negara itu mampu berdikari dan menjamin kemandirian negara itu sendiri. Oleh itu, keusahawanan merupakan salah satu bidang yang wajar diceburi oleh masyarakat terutamanya golongan muda dalam memangkin kemajuan ekonomi dan masyarakat. Namun begitu, bidang ini bukanlah satu bidang yang mudah untuk diceburi dan memerlukan usaha-usaha yang proaktif dan jitu demi mencapai kejayaan yang setanding dengan usahawan-usahawan yang terkemuka di dunia.
Antara usaha yang perlu digarap oleh seseorang individu yang ingin menceburi bidang keusahawanan ini adalah dengan menimba ilmu pengetahuan berkaitan bidang yang ingin diceburi. Ilmu pengetahuan merupakan salah satu senjata yang paling ampuh dan mampu menjana kejayaan seseorang individu. Dalam konteks keusahawanan, pelbagai bidang ilmu yang perlu dipelajari antaranya ilmu pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan pengurusan inventori. Latar belakang pendidikan seseorang itu tidak menjadi penghalang untuk menceburi bidang ini. Namun begitu, mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan perniagaan atau keusahawanan lebih cenderung untuk menjadi usahawan yang berjaya. Hal ini kerana mereka telah didedahkan dengan selok-belok perniagaan serta dapat meramalkan risiko yang bakal dihadapi kelak. Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Jelaslah bahawa mereka yang ingin menceburi bidang ini perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang cukup agar tidak kecundang di tengah jalan.
Seterusnya, seseorang yang ingin bergelar usahawan yang berjaya perlulah bijak merebut peluang yang terhidang di depan mata. Dalam sesebuah perniagaan, peluang itu hadir dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk material, lokasi strategik, masa yang bersesuaian, tenaga kerja yang mahir dan sebagainya. Peluang yang hadir ini hanya datang sekali dan sekiranya tidak dimanfaatkan oleh seseorang usahawan, nescaya ia akan dirampas oleh pesaingnya yang lain. Dalam erti kata lain, mereka yang berani mengambil risiko dan bijak mengatur strategi perniagaan akan berjaya mengecapi kejayaan sebagai usahawan yang berjaya. Misalnya, ramai usahawan yang meraih pendapatan lumayan hanya dengan menjadi usahawan dalam talian dengan memasarkan produk mereka menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan Tiktok. Kaedah pemasaran ini mampu direalisasikan seiring dengan perkembangan teknologi yang menyumbang kepada kewujudan media sosial. Hasilnya, ramai usahawan baharu yang muncul dan membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk bersaing dengan usahawan konvensional yang lain. Intihannya, usaha untuk merebut peluang dalam perniagaan mampu membuahkan kejayaan kepada para usahawan.
Selain itu, seseorang usahawan perlulah mempunyai semangat yang cekal dan tidak mudah berputus asa dalam mendepani cabaran dalam perniagaan. Seseorang usahawan yang berjaya pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan sama ada dari segi mental, fizikal dan juga kewangan. Hal ini kerana dalam sesebuah perniagaan pasti akan ada pasang dan surutnya. Tamsilnya, seorang usahawan kedai makan akan mengalami kerugian apabila berlaku kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga barang mentah yang mendadak. Rentetan itu, sebagai seorang usahawan, kita perlulah bersiap siaga dan sabar dalam menghadapi dugaan yang datang supaya perniagaan yang dijalankan terus kekal beroperasi. Sekiranya masalah yang dihadapi buntu untuk diselesaikan, berjumpalah dengan pakar perniagaan dan usahawan-usahawan lain yang telah berjaya untuk meminta pandangan dan nasihat. Tegasnya, sikap tidak mudah berputus asa dan ketabahan diri usahawan akan menjamin kelangsungan perniagaan tersebut untuk terus berkembang maju.
Akhir sekali, usahawan yang berjaya merupakan seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Masa itu diumpamakan seperti emas yang sangat berharga dan tidak boleh dijual beli. Urusan perniagaan amat mementingkan masa terutama apabila melibatkan mesyuarat atau perjumpaan dengan wakil-wakil syarikat atau organisasi yang lain. Sekiranya seseorang usahawan itu lewat atau tidak hadir ke sesebuah mesyuarat, sudah pasti mereka akan dipandang rendah dan tidak dihormati. Secara tidak langsung, nama baik syarikat akan tercalar dan boleh menjejaskan perniagaan. Oleh itu, seseorang usahawan yang berdisiplin dan menepati masa akan sentiasa disenangi rakan-rakan niaga dan disanjung tinggi. Sikap menepati masa juga dapat memastikan segala urusan perniagaan berjalan lancar dan tidak tergendala. Jelaslah bahawa sikap berdisiplin dan menepati masa merupakan salah satu usaha yang perlu diamalkan oleh usahawan yang ingin mengecapi kejayaan.
Konklusinya, banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan. Selain itu, usahawan juga berperanan penting dalam memangkin ekonomi dan pembangunan negara ke arah yang lebih maju. Usahawan yang berjaya juga mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara. Kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan juga perlu memberi sokongan dan bimbingan kepada usahawan tempatan agar tidak keciciran dan mampu bersaing di peringkat global. Semoga bidang keusahawanan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Benarlah kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Moga lebih ramai usahawan yang berjaya dilahirkan di Malaysia dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negara di mata dunia.
778 words